TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mengugut mahu membunuh ibu mentuanya di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek dipercayai bertindak agresif di dalam sebuah bilik dan mengeluarkan ugutan bunuh bahkan mahu meracun mangsa.
“Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa, seorang wanita tempatan berumur 61 tahun sedang makan di rumahnya,” katanya di sini pada Ahad.
Jasmin berkata perbuatan menantunya itu membuatkan mangsa bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai.
Susulan laporan itu, sepasukan polis menjalankan operasi bagi mengesan suspek sebelum menahannya kira-kira jam 5.22 petang pada hari sama kejadian itu dilaporkan.
“Hasil semakan terhadap suspek yang berumur dalam 30an itu turut mendapati dokumen pengenalan dirinya tamat had tempoh sah,” katanya.
Jasmin berkata polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau keganasan, khususnya yang melibatkan keselamatan ahli keluarga.
“Kami berharap orang ramai segera tampil melaporkan kejadian seumpama ini bagi membolehkan tindakan tegas diambil dan mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.