Tuaran: Pemandu Ford Ranger Raptor yang terlibat dalam kemalangan maut yang menyebabkan pasangan suami isteri maut dekat Kampung Kapa di Jalan Tamparuli-Ranau, Jumaat lalu, ditahan reman dua hari.
Ketua Polis Daerah Tuaran Supt Noraidin Ag Maidin berkata arkitek berumur 30 tahun itu ditahan reman pada hari kejadian, 9 Januari selepas menerima rawatan perubatan.
Difahamkan, Ford terbabit didaftarkan atas nama sebuah syarikat pelancongan dan perjalanan.
Warganegara Indonesia Mustofa, 44, dan isterinya yang juga warga tempatan, Nur Shilla Abdullah, 37, maut di tempat kejadian selepas Ford berkenaan bertembung dengan motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki mereka pada jam 3.20 petang Jumaat. Kedua-duanya meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pacuan empat roda itu, yang dinaiki seorang pemandu dan seorang penumpang lelaki menghala ke arah Kota Kinabalu dari Ranau, cuba memintas beberapa kenderaan di hadapan mereka.
Namun ia bertembung dengan motosikal itu yang datang dari arah bertentangan, yang menyebabkan pasangan suami isteri itu tercampak ke gaung.
Satu rakaman video dashcam yang tersebar di media sosial memaparkan Ford bewarna biru itu memintas beberapa kenderaan di hadapannya dengan laju.
Kereta itu terus dipandu di laluan bertentangan sehingga ke laluan selekoh lalu bertembung dengan motosikal berkenaan.
Pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bongol, Tamparuli selepas membeli peralatan sekolah untuk anak-anak mereka. Pasangan itu meninggalkan tiga anak berusia tujuh, 13 serta 17 tahun.