Kota Kinabalu: Pemindahan teknologi dari luar negara, khususnya dari China, dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di Sabah.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri,Datuk James Ratib berkata inovasi merupakan pemacu utama pembangunan negeri dan berharap Dewan Perniagaan Sabah-China terus memainkan peranan aktif dengan membantu serta mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri dalam memperkenalkan teknologi canggih dari China ke Sabah.
“Hubungan strategik yang kukuh antara Dewan Perniagaan Sabah-China dan pemain industri di China merupakan satu kelebihan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada Dewan Perniagaan Sabah-China, di sini, Jumaat.
Ratib berkata Presiden Dewan Perniagaan Sabah-China, Datuk Frankie Liew mempunyai hubungan rapat dengan syarikat-syarikat di China dan hubungan itu amat penting dalam membuka laluan kepada kerjasama teknologi, pelaburan serta pembangunan kepakaran di Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa kementerian mengalu-alukan semua bentuk kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan antara kedua-dua pihak, khususnya inisiatif melibatkan pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan serta penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selaras dengan agenda pembangunan negeri.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Sabah-China, Brett Chua berkata China mempunyai beberapa teknologi berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berpotensi untuk dikongsi.
Bagaimanapun, katanya, Sabah ketika ini belum mempunyai platform yang sesuai untuk menerima dan melaksanakan teknologi terbabit sepenuhnya, justeru lawatan berkenaan menjadi titik permulaan penting ke arah merealisasikan kerjasama strategik dalam bidang TVET antara kedua-dua pihak.