KUNAK: Syarikat konsesi penyelenggaraan jalan telah menjalankan kerja-kerja pembaikan di satu persimpangan yang rosak di Kampung Simpang Empat, di sini, pada Khamis.
Penduduk sebelum ini mengadu bahawa jalan masuk menuju ke kawasan perumahan mereka tidak dapat digunakan sejak minggu lalu berikutan terdapat lubang besar.
Keadaan itu memaksa pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif bagi urusan harian mereka.
“Kami berharap tindakan segera dapat diambil kerana jalan ini digunakan setiap hari oleh kenderaan,” kata seorang penduduk.
Harian Ekspres sebelum ini telah membangkitkan perkara terbabit kepada syarikat konsesi penyelenggaraan jalan.
Tinjauan di lokasi pada Khamis mendapati kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan oleh pihak konsesi.
Sebelum ini, penduduk mengambil langkah sementara dengan menimbus lubang berkenaan menggunakan simen dan batu kerikil bagi mengurangkan risiko kemalangan.