PENYANYI muda berusia 19 tahun, Khalyn sudah sedia mencipta nama dalam industri muzik tempatan menerusi pelancaran single debutnya yang sarat emosi berjudul Bawa Diriku.
Sejak usia 13 tahun, Khalyn atau nama lengkap Khalyn Mohamad Mulyani telah menyemai impian untuk bergiat aktif dalam bidang muzik dan kini dia bersedia mengorak langkah lebih jauh dengan karya yang menampilkan gaya serta semangat sebenar generasi Gen Z.
Bukan sekadar bergantung kepada bakat semula jadi, Khalyn juga merupakan seorang pelajar yang sedang mendalami bidang seni sekali gus membuktikan komitmennya untuk membina asas kukuh dalam dunia muzik.
Langkah awal Khalyn dalam industri bermula apabila dia menyertai beberapa program popular seperti All Together Now Musim 2, The Chosen One Musim 2, Generasi DFP Edisi 2024 Concert serta yang terbaharu, Raise The Star Malaysia.
Khalyn turut membuktikan bahawa dia bukan sekadar penyanyi tetapi seorang artis dengan personaliti ceria dan berani. Setiap penampilannya memancarkan aura tersendiri yang penuh semangat serta keyakinan diri.
Single Bawa Diriku merupakan sebuah karya yang mendalam dan menyentuh perasaan.
Penyanyi kelahiran Rawang, Selangor itu mengungkapkan kisah cinta yang kuat dan tidak terbendung menerusi lirik seperti, “Bawa diriku dalam dekapmu, hanyutkan aku dalam belaian hangat cintamu.”
Menurut Khalyn, lagu berkenaan bukan sekadar karya cinta biasa sebaliknya menceritakan perjalanan emosi yang merangkumi impian, cabaran dan harapan.
“Lagu ini adalah perjalanan perasaan saya tentang impian dan cabaran yang dilalui serta harapan yang ingin saya kongsikan.
“Saya berharap pendengar dapat merasai setiap emosi yang dibawa dan benar-benar menyelami maknanya,” katanya.
Sebagai artis muda yang baru melancarkan karya pertama, Khalyn berharap peminat muzik tempatan akan terus memberikan sokongan terhadap perjalanan seninya.
“Saya sangat teruja dengan sokongan yang diberikan. Saya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati pendengar seperti mana ia menyentuh hati saya,” tambahnya.
Dengan bakat luar biasa, ilmu yang mendalam dalam bidang muzik serta semangat yang tidak pernah padam, Khalyn dilihat berpotensi besar untuk terus mencipta kejayaan dalam industri muzik Malaysia.
Single Bawa Diriku kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasminya dilancarkan pada Jumaat menerusi saluran YouTube rasmi MapMusic.