KOTA MARUDU: Jalan raya berturap dan sebuah jambatan di Kampung Sungoi Laut, di sini, musnah akibat banjir kilat seakan kejadian ‘kepala air’ yang melanda kawasan kampung berkenaan pada petang Ahad lalu.
Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara, berkata lokasi kejadian telah dilawati pada Isnin oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Adun Bandau, Datuk Dr Maijol Mahap.
Menurut Meirin, kerosakan melibatkan sebuah jambatan, permukaan jalan berturap, sebuah rumah yang runtuh dan hanyut, empat rumah dimasuki air serta sebuah pusat pelancongan terjejas.
Katanya, cadangan bantuan segera melibatkan kerja pembersihan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bantuan peralatan dapur daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Maijol berkata kejadian banjir kilat itu menjejaskan dua kampung dengan kira-kira 300 penduduk di Kampung Sungoi Laut dan Kampung Sungoi Darat terlibat, selain menyebabkan laluan kenderaan terputus akibat kerosakan jalan dan jambatan.
“Kami telah melawat rumah terjejas termasuk lokasi sebuah rumah hanyut. Saya akan lihat dan memasukkannya dalam senarai penerima Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ). Keperluan bukan sahaja melibatkan rumah, tetapi juga jalan raya yang rosak teruk,” katanya.
Maijol menjelaskan jalan berkenaan berada di bawah seliaan Majlis Daerah dan bukannya Jabatan Kerja Raya (JKR), namun beliau telah menghubungi Pengarah JKR Sabah bagi membincangkan langkah pembaikan.
“Saya dimaklumkan kejadian banjir bukan hanya melibatkan Kota Marudu atau Bandau sahaja, tetapi turut membabitkan daerah lain. Data kerosakan dan anggaran kos sedang dikumpulkan,” katanya.
Beliau berkata akan memohon peruntukan khas daripada Kementerian Kewangan bagi menangani bencana banjir dan membaiki jalan rosak, sambil menegaskan masalah banjir memerlukan kos besar serta penyelesaian komprehensif dan inklusif.
Maijol turut menekankan keperluan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah banjir di Sabah secara berkesan dan segera.