KEMABONG: Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan ke Kampung Tinura pada Ahad malam sekali gus mengakibatkan penduduk terputus hubungan untuk ke pekan Kemabong serta Tenom.
Seorang penduduk Usup Antawor berkata kira-kira 10 kejadian tanah runtuh telah menghalang laluan sepenuhnya hingga ke simpang Bakuku.
Beliau berkata beberapa tiang elektrik turut tumbang mengakibatkan gangguan bekalan elektrik dan talian komunikasi.
Menurutnya beliau terpaksa berjalan sejauh kira-kira dua kilometer untuk mendapatkan liputan telefon bimbit bagi memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan kerja-kerja pembersihan jalan selepas lawatan tapak oleh Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Pegawai Daerah Tenom Alexander Liew, Penolong Pegawai Daerah Kemabong Zakariah Jamal serta anggota keselamatan dan agensi berkaitan.
Selain laluan jalan raya terputus banjir kilat yang berpunca daripada sekatan sungai akibat tanah runtuh turut menyebabkan beberapa buah rumah rosak.
Banjir tersebut berlaku sekitar jam 3 pagi pada Isnin dan menimbulkan panik dalam kalangan penduduk kampung namun tiada kecederaan dilaporkan.
Riduan mengesahkan kerja-kerja pembersihan masih diteruskan dan bantuan akan disalurkan kepada penduduk terjejas sebaik sahaja laluan dapat dibuka semula.