Kota Kinabalu: Mandat yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini mencerminkan hasrat rakyat negeri itu terhadap kestabilan politik, perpaduan serta hala tuju yang jelas bagi masa depan Sabah.
Dalam perutusan Tahun Baharu 2026 beliau, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Titingan, berkata kemenangan GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya satu isyarat jelas bahawa rakyat Sabah mahukan kesinambungan tadbir urus dan kepimpinan yang berfokus kepada kepentingan jangka panjang rakyat.
“Mandat ini dengan jelas membuktikan bahawa rakyat memilih kestabilan, kematangan politik serta sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas untuk membawa Sabah ke arah kemajuan dan kejayaan yang mampan,” katanya.
Nizam, yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai menteri, sambil menegaskan komitmennya untuk berkhidmat sepenuhnya demi rakyat dan pembangunan negeri.
“Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab serta komitmen untuk bekerjasama dengan pasukan kerajaan negeri bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan keseluruhan Sabah,” katanya.
Menurut beliau, tahun 2026 menandakan permulaan fasa penting dengan pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang akan terus memperkukuh tiga teras utama pembangunan negeri.
Teras tersebut merangkumi pemerkasaan sektor pertumbuhan ekonomi seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan; pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat; dan peluasan infrastruktur mampan berasaskan pendekatan hijau.
Di bawah kementeriannya, Nizam berkata tumpuan akan diberikan kepada usaha melahirkan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi menerusi pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan.
“Golongan belia bukan sekadar penerima peluang, sebaliknya perlu menjadi pencipta nilai serta penyumbang aktif kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Dalam bidang sukan, beliau berkata inisiatif untuk memposisikan Sabah sebagai sebuah negeri sukan akan dilaksanakan secara menyeluruh, meliputi sukan berprestasi tinggi, sukan untuk orang kurang upaya serta sukan penyertaan massa bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Pada masa sama, usaha memperkasa ekonomi kreatif akan dipertingkatkan, khususnya dalam sektor kreatif dan digital, melalui pembangunan kemahiran, inovasi, pemasaran serta pengurusan yang lebih berkesan bagi memastikan sektor itu menjadi pemacu ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing untuk Sabah.
Menyentuh mengenai hak negeri, Nizam menegaskan kerajaan Sabah akan kekal konsisten mempertahankan kepentingan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pendekatan berprinsip dan berhemah dalam kerangka Persekutuan.
“Perjuangan ini dilaksanakan bagi memastikan hak Sabah terus diperkukuh, di samping mengekalkan hubungan rapat dan konstruktif antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah Sabah Maju Jaya dan Kerajaan Persekutuan berlandaskan Malaysia Madani,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan dan bekerjasama dengan kerajaan negeri, menegaskan bahawa usaha membina Sabah yang lebih maju dan berjaya merupakan tanggungjawab bersama.
“Semoga 2026 membawa sinar harapan baharu, kestabilan yang berpanjangan serta kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.