LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah disyaki syabu dalam dua operasi berasingan di Kampung Lok Banga, Jalan Lahad Datu–Tungku, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata suspek pertama ditahan susulan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, polis menemui lapan paket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki syabu yang dibungkus dengan kerajang aluminium.
“Suspek yang turut didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing telah ditahan untuk siasatan dan reman di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.
Dzulbaharin berkata, polis turut menahan dua lagi lelaki di lokasi berkenaan selepas ujian air kencing mendapati mereka positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.