TAWAU: Seorang pengawal keselamatan disyaki terlibat dalam kes keganasan rumah tangga ditahan di sebuah rumah pekerja ladang di Jalan Bukit Quoin, di sini, Jumaat lalu, bagi membantu siasatan.
Insiden berkenaan dipercayai tercetus apabila lelaki itu dikatakan berang selepas ditegur isterinya berhubung dakwaan berlaku curang, termasuk mempunyai seorang wanita simpanan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek merupakan seorang lelaki warga asing berusia 45 tahun yang ditahan susulan laporan dibuat oleh isterinya, seorang suri rumah berumur 43 tahun.
“Kita menerima laporan daripada mangsa pada Jumaat kira-kira jam 10.55 pagi di Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI), sehari selepas kejadian, sebelum gerakan mengesan suspek dilancarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Menurut Jasmin, berdasarkan aduan mangsa, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang di kediaman pasangan suami isteri itu, apabila wanita tersebut dipukul oleh suaminya.
Beliau berkata mangsa mendakwa mengalami kesakitan pada bahagian lengan kanan dan kiri akibat dipukul, sekali gus mendorongnya membuat laporan polis.
“Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Ketua Operasi, Inspektor Kasinam Kadri, telah menjalankan gerakan mengesan dan menahan suspek kira-kira jam 3 petang di kediamannya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 berkaitan perintah perlindungan serta peruntukan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.