PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Dis ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan skim itu melibatkan kawalan harga maksimum bagi 14 jenis barangan keperluan terpilih bagi setiap negeri.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP ini meliputi dua hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan bagi memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara, di samping mengambil kira kepentingan peniaga,” katanya pada sidang media SHMMP Krismas di Pekan Papar, di sini, Sabtu.
Menurut Armizan, penetapan harga maksimum bagi SHMMP Krismas 2025 adalah hasil perbincangan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi berkaitan, termasuk pandangan pemain industri.
“Tempoh pelaksanaan skim kali ini turut disesuaikan dengan keadaan semasa bagi memastikan keseimbangan antara keperluan pengguna dan kelangsungan perniagaan.
Antara barangan SHMMP Krismas di Sabah ialah daging kambing biri-biri bertulang import; kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing); lobak merah (China); tomato; cili merah; lada benggala hijau; bawang merah besar; bawang kuning besar; ubi kentang import (China); kepak ayam; ayam tua hidup (Sarawak saja); babi hidup (ladang); daging babi (perut) serta daging dan lemak babi.
Armizan berkata, SHMMP Krismas 2025 dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011), manakala senarai harga maksimum boleh disemak melalui laman sesawang rasmi KPDN.
Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu, dengan pendekatan penguatkuasaan berhemah merangkumi pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga agar mematuhi peraturan ditetapkan.
“Orang ramai dialu-alukan untuk membuat aduan segera sekiranya terdapat pelanggaran harga kawalan oleh mana-mana peniaga supaya tindakan segera dapat diambil.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peruntukan di bawah AKHAP 2011,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas serta Program Servis Ihsan Madani@Petronas Auto Expert (SIM@PAX) sempena musim perayaan.
Beliau berkata sebanyak 875 lokasi PJRM Krismas dilaksanakan di seluruh negara selama 10 hari bermula 18 hingga 27 Dis ini.
“Orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Krismas 2025 di laman sesawang KPDN melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah, manakala perkhidmatan SIM@PAX boleh diakses melalui aplikasi Setel Petronas,” katanya.