Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Datuk Abdul Kassim Jali @ Razali zmencadangkan penubuhan sebuah badan berkanun khusus bagi menyelaras agenda pendigitalan Negeri supaya dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan berkesan.
Katanya, perkembangan pesat pendigitalan masa kini memerlukan sebuah entiti khusus yang bertanggungjawab merangka, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda digital Negeri bagi mengelakkan pertindihan fungsi antara agensi.
“Pendigitalan merupakan satu keperluan, bukan lagi pilihan. Agenda ini mesti diselaraskan secara cekap dan berkesan supaya pelaksanaannya di peringkat Negeri menjadi menyeluruh dan memberi impak tinggi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026.
Abdul Kassim turut menekankan bahawa pembangunan infrastruktur fizikal perlu diseimbangkan dengan pembangunan modal insan bagi memastikan pelaburan yang masuk ke Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh bakat tempatan.
Menurutnya, tanpa tenaga kerja berkemahiran tinggi, kemasukan pelaburan berimpak tinggi tidak akan memberikan pulangan maksimum kepada rakyat Negeri ini.
Beliau menyambut baik peruntukan RM437.93 juta bagi pembangunan dan pemerkasaan modal insan, serta menyifatkannya sebagai pelaburan strategik untuk masa depan Sabah.
“Pelaburan dalam modal insan adalah pelaburan jangka panjang. Hasilnya mungkin tidak nampak dalam masa terdekat tetapi akan membuahkan hasil dalam tempoh lima hingga 10 tahun,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan yang selari dengan keperluan industri, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Abdul Kassim berkata perubahan landskap ekonomi global, termasuk kemunculan ekonomi gig, kecerdasan buatan (AI) dan automasi, menuntut set kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan industri semasa.
Berhubung peruntukan RM39.24 juta bagi STEM dan TVET, beliau mencadangkan sebahagian dana itu digunakan untuk mewujudkan program padanan industri yang lebih agresif dan berkesan.