Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah digesa menuntut penarikan balik Notis Rayuan Kerajaan Persekutuan sebagai syarat penting dalam rundingan akan datang berkaitan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli dari Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
(gambar) berkata Kabinet Sabah perlu mengambil pendirian tegas dan berkeras supaya penarikan balik itu dimasukkan sebagai sebahagian terma rundingan yang dijadualkan pada 18 Disember.
Beliau berkata Menteri Kewangan Negeri merangkap Adun Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan bahawa rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bermula pada 17 November dan akan bersambung pada 18 Disember.
“Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa 40 peratus daripada keseluruhan hasil Persekutuan yang dikutip daripada Sabah mesti dikembalikan kepada Sabah.
“Itu hak Sabah. Itu adalah kelayakan Sabah. Sejak 1975 hingga kini, Sabah dinafikan hak ini,” kata Madius ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2026.
Beliau memetik keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini yang mengisytiharkan bahawa semua rundingan terdahulu antara kerajaan Sabah dan Persekutuan yang gagal mengambil kira hak 40 peratus itu adalah satu pelanggaran Perlembagaan.
“Mahkamah Tinggi dengan jelas menyatakan bahawa rundingan yang dijalankan tanpa merujuk hak perlembagaan ini adalah tidak sah.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan mesti segera menunaikan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, Madius berkata Sabah selaku responden kedua dalam semakan kehakiman yang dimulakan dan difailkan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berhubung rundingan persekutuan-negeri sejak 1975, mesti membuat tuntutan terbabit.
“Kerajaan Persekutuan wajar menarik balik Notis Rayuan kerana rayuan itu tidak rasional dan bercanggah dengan keputusan Kabinet Persekutuan ‘tiada rayuan mengenai 40 peratus’, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri di Parlimen,” katanya, sambil menambah rayuan itu juga bercanggah dengan pengiktirafan dan penerimaan Kerajaan Persekutuan terhadap hak perlembagaan Sabah.
Selain itu, Madius berkata hanya dua daripada lapan alasan dalam Notis Rayuan merujuk kepada penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu manakala enam baki alasan lain tidak mempunyai kaitan langsung dengan keputusan itu.
“Jika Kerajaan Persekutuan enggan menarik balik Notis Rayuan, maka Kerajaan Sabah sebagai responden kedua dan pemegang taruh dalam kes ini harus merujuk perkara terbabit kepada Mahkamah Rayuan dengan memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.
Mengulas kenyataan Adun Tungku, Assafal P. Alian, Madius berkata jika Kerajaan Persekutuan benar-benar ikhlas berunding dengan Kerajaan Negeri mengenai hak perlembagaan Sabah terhadap hasil 40 peratus itu, tidak sepatutnya wujud Notis Rayuan kerana itulah yang rakyat Sabah mahu dan perkara ini boleh diselesaikan dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan hak Sabah terhadap 40 peratus.