Kota Kinabalu: MADIUS berkata rakyat Tamparuli menuntut penyelesaian menyeluruh terhadap pelbagai masalah infrastruktur, khususnya gangguan bekalan air dan elektrik, jalan berlubang serta cabaran ekonomi.
Sehubungan itu, beliau berkata Sabah masih memerlukan kira-kira RM60 bilion bagi menaik taraf sepenuhnya lebih 4,355 kilometer jalan kerikil di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada jalan berturap.
“Di Tuaran sahaja masih terdapat 126 kilometer jalan kerikil dan menaik tarafnya akan memerlukan kira-kira RM500 juta.
“Oleh itu, jika hasil tahunan Sabah kekal sekitar RM6.43 bilion dan tiada peruntukan khusus disediakan dalam Belanjawan 2026 untuk menaik taraf jalan kerikil JKR, negeri mungkin mengambil masa sehingga 200 tahun untuk menyiapkan kerja penurapan itu.
“Akibatnya, Sabah terpaksa memohon bantuan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Projek Jalan Luar Bandar (JALB),” katanya.
Menurutnya, sebuah bangunan di SMK Tamparuli dan SMK Tenghilan telah diisytiharkan tidak selamat oleh JKR dan rakyat kini mengharapkan hak 40 peratus itu untuk menyelesaikan masalah ini, bukan hanya bergantung pada peruntukan persekutuan.
Madius turut membangkitkan kebimbangan mengenai situasi bekalan air Sabah, dengan menyatakan margin rizab pengeluaran air terawat negeri kekal negatif 11 peratus.
Di bawah Belanjawan 2026, katanya hanya RM209.67 juta diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Pembangunan Kepala D.33, Item 0002, untuk program bekalan air terawatt dan dana terbabit disediakan dalam bentuk pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.
“Peruntukan ini tidak mencukupi dan Sabah masih perlu meminjam daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai keseluruhan kos pembangunan infrastruktur bekalan air terawat,” katanya.
Secara berasingan, Madius memberi amaran bahawa usaha untuk menyelesaikan sepenuhnya isu rizab negatif bekalan air terawat di Pantai Barat Sabah menjelang 2030 melalui projek Empangan Padas Hulu mungkin tidak dapat dicapai mengikut jadual.
“Projek bernilai RM4 bilion itu, yang dijangka menjana 187 megawatt elektrik dan membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air Beaufort yang dicadangkan dengan kapasiti lebih 900 juta liter air sehari masih belum memulakan pembinaan walaupun majlis pecah tanah telah diadakan pada awal 2024.
“Kelewatan berlaku disebabkan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara pemaju projek Gamuda dan Sabah Electricity masih belum ditandatangani ekoran rundingan tarif yang belum dipersetujui.
“Jurang tarif adalah besar dengan Gamuda meminta kadar 45 sen manakala Sabah Electricity mahukan kadar di bawah 35 sen,” katanya.
Dalam usaha menjimatkan masa, Madius berkata satu-satunya pilihan praktikal untuk menyelesaikan margin rizab negatif bekalan air terawat Sabah ialah meneruskan projek Empangan Kaiduan dengan segera.
Namun, beliau menegaskan kerajaan perlu belajar daripada kesilapan dan kelemahan lampau dalam pelaksanaan Empangan Babagon dan urusan pampasan mesti ditangani dengan betul sebelum pembinaan empangan dimulakan.