Kota Kinabalu: Seorang pemilik kedai dikenakan denda keseluruhan RM2,000 atas dua pertuduhan memiliki produk dan kosmetik tanpa pendaftaran.
Mohammed Faizal Asarafullasha mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain pada Rabu.
Bagi pertuduhan pertama Mohammed didenda RM1,000 atau 30 hari penjara jika gagal bayar kerana memiliki empat produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 11.55 pagi, 12 Jun 2024 di Razida Trading, Bangunan Sedco, Kundasang, Ranau.
Kesalahan ini mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua Mohammed diperintahkan membayar denda RM1,000 atau 30 hari penjara kerana memiliki empat kosmetik tanpa notifikasi di tempat dan masa yang sama.
Sementara itu seorang pembantu kedai Mohd Kadir Ismail didenda RM500 atau 14 hari penjara jika gagal bayar kerana menjual dua kosmetik tanpa label kepada seorang lelaki di tempat dan masa yang sama.
Semasa penghakiman kedua-dua Mohammed dan Mohd Kadir memohon hukuman ringan manakala pihak pendakwaan menekankan bahawa kesalahan mereka boleh membahayakan kesihatan awam kerana produk tidak berdaftar dan tiada label.
Pegawai Pendakwa Muhammad Zainal Ariff Ozeman @ Azeman dari Jabatan Farmasi mewakili pihak pendakwaan.