FILEM animasi Papa Zola The Movie terbitan Monsta Studio dan Astro Shaw yang baru sahaja ditayangkan di pawagam sejak 11 Disember lalu mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya meraih kutipan lebih RM 10 Juta.
Papa Zola The Movie mencetuskan ‘fenomena kebenaran’ apabila penonton membanjiri media sosial dengan pelbagai reaksi terhadap penceritaan jujur yang dekat dengan realiti kehidupan golongan dewasa manakala penonton muda terpukau dengan aksi dan visual yang hebat.

Perkongsian tersebut membuka ruang perbincangan yang lebih luas tentang tekanan hidup zaman sekarang, pengorbanan serta makna kejayaan sebenar.
Ini adalah satu pendekatan yang jarang diterokai dalam genre animasi tempatan.
Penceritaan yang mendalam tetapi jujur membuktikan animasi tempatan mampu melangkaui wadah hiburan semata-mata dan berfungsi sebagai medium penceritaan yang matang, berani dan relevan.
Pengarah merangkap penulis Papa Zola The Movie Nizam Abd Razak berkata pihaknya tidak menyangka sebuah filem animasi seperti Papa Zola The Movie mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penonton.
“Terima kasih kepada penonton, media dan pemamer yang menyokong Papa ZolaThe Movie.

“Hasil perkongsian dan reaksi penonton membuktikan bahawa ini adalah cerita kita, kisah yang lahir daripada realiti kehidupan.
“Kami berharap filem ini membuka ruang baharu untuk animasi tempatan tampil dengan penceritaan yang matang dan bermakna,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Monsta.
Sementara itu Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad berkata melihat reaksi penonton yang tersentuh dan berkongsi pengalaman mereka selepas menonton Papa Zola The Movie merupakan satu penghargaan besar buat kami.
“Terima kasih kepada semua penonton dan ‘pejuang kebenaran’ yang memberi sokongan pada filem ini.
“Menjelang cuti sekolah kami berharap lebih ramai penonton khususnya seisi keluarga dapat meluangkan masa ke pawagam untuk menonton filem ini bersama-sama insan tersayang,” ujarnya.
Terdahulu Papa Zola The Movie kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Filem berkenaan juga bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia, India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.