TAWAU: Kerajaan Negeri harus menimbangkan projek pangsapuri bagi menangani isu kekurangan perumahan membabitkan rakyat dalam bandar separa bandar berkonsepkan sewa beli (RTO).
Inisiatif ini juga dapat menangani isu kekurangan rumah mampu milik dan kos perumahan yang tinggi terutama di kawasan bandar yang menyebabkan ramai warga bandar terpaksa menyewa rumah atau bilik dan bahkan tinggal di kawasan setinggan.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berharap cadangan itu dapat dibangkitkan melalui perbahasan pembentangan Belanjawan 2026 dalam usaha menyediakan kediaman selesa kepada rakyat memerlukan.
“Ketua Menteri sudah menyebut bahawa matlamat Kerajaan Negeri pada tahun hadapan adalah untuk menyelesaikan isu berpanjangan berkaitan air, elektrik dan jalan raya.
“Namun kita percaya dengan adanya ruang fiskal tambahan melalui geran khas interim RM600 juta dan kadar 40 peratus hak hasil Sabah pada 2026, saya harap satu perkara lagi yang boleh ditambah iaitu perumahan,” katanya.
Armizan berkata Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 sudah terbukti berhasil melaksanakan agenda Rumah Mesra SMJ, yang membantu golongan susah di luar bandar memiliki rumah sendiri.
Sehubungan itu Kerajaan Negeri yang akan menerima ruang fiskal tambahan dari geran khas dan hak hasil Sabah juga diharap dapat bersedia membuka jalan kepada pelaksanaan projek pangsapuri bagi menangani isu keperluan rakyat.
“Maksudnya Kerajaan Negeri digalakkan agar melaksanakan program perumahan untuk rakyat dalam bentuk pangsapuri dengan konsep RTO yang relevan dan penting untuk penghuni kawasan bandar dan separa bandar.
“Ada rakyat kita yang terpaksa sewa rumah pada kadar RM500, RM1,000 dan RM1,500 sebulan. Tetapi dengan adanya program RTO ini kelak, mereka bukan hanya menyewa pada kadar lebih murah tetapi dalam jangka panjang mampu memiliki rumahnya sendiri.
“Kalau rakyat kita yang berada di luar bandar, mereka masih ada tanah sendiri tetapi rakyat kita yang tinggal di bandar dan separa bandar atau di tepi bandar pula masih ramai yang sekadar hidup menyewa rumah,” katanya.
Menurut Armizan, Program Residensi Rakyat (PRR) dirangka mengikut konsep pangsapuri melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi menggantikan projek yang sudah diberhentikan iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR) berkonsepkan flat.
Beliau percaya ada keperluan untuk Kerajaan Negeri pimpinan GRS memasukkan program perumahan pangsapuri mampu milik ke dalam agenda SMJ 2.0 berikutan faktor keperluan rakyat yang mendesak malah perlu disegerakan.
“Bagaimanapun hal paling penting yang perlu disegerakan oleh Kerajaan Negeri adalah mengenal pasti lokasi-lokasi tanah yang boleh diwartakan untuk pelaksanaan projek atau pembinaan bangunan perumahan rakyat ini.
“Selagi kita masih ada tanah, kawasan-kawasan ini perlu segera diwartakan sebagai tanah rizab untuk perumahan rakyat. Kita tahu rumah-rumah teres juga perlu tetapi seimbangkanlah. Janganlah tertumpu dengan rumah teres sahaja,” katanya.
Armizan menyokong usul Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui agar Kerajaan Negeri menimbangkan membina projek perumahan rakyat kos rendah jenis flat yang seperti PPR.
Armizan berkata kedua-dua usul (pangsapuri dan flat) mempunyai keterikatan kuat khususnya dalam membantu menyediakan kediaman kepada rakyat M40 dan B40 di kawasan bandar dan separa bandar.
“Kita perlu melihat keperluan projek yang sesuai mengikut kawasan. Misalnya ada tempat lebih memerlukan flat khususnya dalam golongan berpendapatan rendah tetapi ada pula golongan menengah yang memerlukan pangsapuri.
“Kos membeli rumah teres sekarang begitu tinggi. Jadi, ia satu langkah baik jika kita boleh menyediakan flat atau pangsapuri kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.
Menyentuh peluang untuk kedua-dua pelan perumahan rakyat itu dilaksanakan, beliau optimis berikutan Belanjawan 2026 yang baharu dibentangkan dilihat belum mengambil-kira insentif RM600 juta dan 40 peratus hak hasil Sabah.
“Masih ada ruang tambahan kepada inisiatif-inisiatif baharu diperkenalkan yang saya fikir mengambil-kira kadar pemberian geran khas RM600 juta, malah Perdana Menteri turut menyebut akan ada perbincangan yang lebih spesifik berkaitan kadar 40 peratus itu pada Januari depan.
“Selaras dengan perbincangan itu nanti, kita berharap keputusan berkaitan kadar pemberian khas 40 peratus dapat dimuktamadkan terlebih dahulu sebelum pembentangan SMJ 2.0 tahun depan,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan Datuk Rina Jainal dan Adun Balung Syed Ahmad Syed Abas.