BEAUFORT: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan Datuk Mazlan Joehari Manan menyambut baik pembentangan Belanjawan Sabah 2026 yang melibatkan anggaran perbelanjaan RM6.402 bilion dan anggaran hasil RM6.430 bilion.
Beliau berkata lebihan belanjawan sebanyak RM28 juta itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengurus kewangan secara berhemah, berdisiplin dan mampan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya isu jalan raya dan bekalan air juga terus diberi keutamaan apabila Kementerian Kerja Raya dan Utiliti diperuntukan RM1.122 bilion bagi perbelanjaan perbekalan dan RM534.28 juta bagi perbelanjaan pembangunan.
“Peruntukan itu penting untuk menyelesaikan masalah jalan rosak, meningkatkan akses luar bandar serta memperkukuh kestabilan bekalan air bersih di negeri ini.
“Dalam aspek kebajikan Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan Model Menoktahkan Kemiskinan Tegar Negeri Sabah melalui intervensi perumahan, pekerjaan, pendidikan, kebajikan dan kewangan serta keusahawanan.
“Sejajar dengan itu Program Syukur yang menyediakan bantuan RM300 sebulan kepada 100,000 penerima diteruskan sebagai bantuan tunai bersasar bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
“Tidak cukup dengan itu Kerajaan Negeri juga menambah kuota Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) pada tahun depan.
“Ia termasuk tambahan 10 unit rumah khusus untuk golongan muda berumur 40 tahun ke bawah yang telah berkeluarga dan tidak memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditemui pada Ahad.
Dalam pada itu Mazlan turut menyambut baik peruntukan bagi pembangunan modal insan di bawah pendidikan sebanyak RM186.54 juta diperuntukan untuk perbelanjaan perbekalan dan RM18.18 juta bagi perbelanjaan pembangunan.
Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri itu berkata peruntukan kepada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi berkenaan melibatkan pelbagai inisiatif termasuk 13 bantuan pendidikan sedia ada serta pengenalan Bantuan Pendaftaran Yuran Muet (Bayu).
Beliau menyatakan usaha murni ini dijangka akan memberi manfaat kepada mahasiswa dan pelajar pada tahun 2026 depan,” katanya.
Mazlan turut memuji peruntukan RM98.06 juta disalurkan untuk pembangunan belia dan sukan di Sabah bagi penambahbaikan prasarana sukan di bawah RMK-13 serta pemerkasaan modal insan golongan tersebut.
“Peruntukan disalurkan ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan ruang pembangunan yang menyeluruh kepada golongan belia dalam semua aspek bagi memperkasa peranan orang muda.
“Secara keseluruhan Belanjawan Sabah 2026 melebihi RM6.4 bilion ini adalah realistik, berfokuskan rakyat dan berpandangan jauh. Saya berharap pelaksanaan dipantau rapi bagi merealisasikan keberkesananya,” tegasnya.