KOTA MARUDU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandau menyambut baik dan menyokong penuh Belanjawan Sabah 2026 yang telah dibentangkan Kerajaan N pada Jumaat lalu.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Dun Bandau Datu Muhammad Farid Datu Liman berkata belanjawan yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri II yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun itu disifatkan sebagai belanjawan yang berpaksikan kepentingan rakyat khususnya memberi tumpuan terhadap pembangunan belia di negeri ini.
Farid yang juga Ahli Dewan Belia Sabah Bandau berpendapat belanjawan berkenaan jelas menumpukan kepada tiga indikator utama yang amat penting kepada generasi muda.
“Ia termasuklah kesejahteraan belia, pemerkasaan ekonomi dan pelaburan untuk masa hadapan.
“Belanjawan ini meletakan kebajikan belia sebagai antara keutamaan melalui peruntukan kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan khususnya kepada belia luar bandar yang memerlukan sokongan berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Farid beliau percaya belanjawan berkenaan pasti akan membuka lebih banyak ruang terhadap penglibatan belia dalam sektor ekonomi strategik seperti keusahawanan, industri kreatif, ekonomi digital, pertanian moden dan pelancongan.
Beliau menyatakan pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan pengangguran belia malah melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing serta mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan.