TAMBUNAN: Penduduk di beberapa kampung sekitar daerah ini menyuarakan harapan agar pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kali ini dilaksanakan melalui undian terbuka, bukannya secara lantikan politik seperti yang diamalkan sebelum ini.
Mereka berpendapat kaedah pelantikan berasaskan kepentingan parti telah menimbulkan pelbagai masalah, termasuk ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk serta kelemahan dari segi penyampaian suara rakyat di peringkat kampung.
Menurut penduduk, antara isu utama yang sering timbul ialah kegagalan sebahagian pemimpin kampung yang dilantik untuk mendengar keluhan masyarakat, selain kurangnya komunikasi dan penglibatan dalam kehidupan seharian penduduk.
Seorang penduduk, Adderly Sabinus, berkata pelantikan secara langsung oleh parti politik tertentu menyebabkan keutamaan dan keperluan asas penduduk sering diketepikan.
“Pemimpin yang dilantik jarang turun padang, kurang bergaul dengan masyarakat dan hanya muncul apabila ada kepentingan tertentu. Akibatnya, banyak masalah penduduk tidak disampaikan dengan berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, warga Tambunan berharap pemilihan JKKK kali ini dapat dilaksanakan secara adil, telus dan demokratik dengan memberi peluang kepada penduduk memilih sendiri wakil yang benar-benar dipercayai.
Menurut mereka, sistem undian akan memastikan hanya calon yang mendapat sokongan majoriti dipilih, sekali gus mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan di peringkat kampung.
Selain kaedah pemilihan, penduduk turut mencadangkan beberapa kriteria asas bagi calon JKKK. Antaranya, calon perlu memiliki sekurang-kurangnya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus Bahasa Melayu bagi memastikan keupayaan berkomunikasi, mengurus urusan rasmi serta menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa dengan berkesan.
Penduduk juga menegaskan mereka tidak lagi mahukan pemimpin kampung yang hanya pandai bercakap tetapi gagal bertindak. Sebaliknya, JKKK perlu bersikap proaktif, berani mengambil tindakan dan sentiasa peka terhadap isu kebajikan, kemudahan asas, keselamatan serta masalah sosial penduduk.
Kriteria lain yang turut ditekankan ialah calon mestilah bebas daripada rekod jenayah, berintegriti serta mempunyai latar belakang peribadi yang bersih agar mampu menjadi contoh teladan kepada masyarakat, khususnya golongan belia.
Dari segi penampilan, JKKK yang dipilih diharap sentiasa kemas, sopan dan berketerampilan kerana mereka membawa imej kampung serta menjadi wakil rasmi penduduk dalam urusan dengan pihak luar.
Secara keseluruhan, warga Tambunan menegaskan keperluan kepada sistem pemilihan JKKK yang lebih demokratik dan berteraskan kehendak rakyat, dengan harapan kepimpinan kampung akan menjadi lebih dipercayai serta mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat