KOTA KINABALU: Perasmian sambungan elektrik 275kV Sabah–Sarawak menandakan pencapaian strategik dalam memperkukuh keselamatan bekalan elektrik serta menyokong masa depan tenaga di Sabah.
Melalui talian penghantaran rentas sempadan ini, Sabah kini mampu mengakses campuran sumber tenaga yang lebih luas dan kukuh daripada grid serantau, sekali gus meningkatkan kestabilan sistem, memperluas margin rizab dan menyokong pertumbuhan permintaan jangka panjang.
“Ia meningkatkan kestabilan bekalan tenaga di rantau ini dan membuka peluang kepada pertumbuhan mampan,” kata Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, semasa menyaksikan majlis di Load Despatch Centre, dekat sini pada Sabtu.
Penyelarasan Talian Penghantaran dilakukan di PMU Mengalong, Sipitang dan majlis disiarkan secara maya melalui platform Microsoft Teams bagi membolehkan penyertaan lancar daripada SE dan SEB.
Dr Joachim berkata, sambungan ini turut mengukuhkan visi untuk mewujudkan sistem tenaga Borneo yang lebih tahan lasak dan saling bersambung, membolehkan perkongsian tenaga, fleksibiliti operasi dan perlindungan lebih baik terhadap gangguan bekalan.
Beliau menambah projek ini membolehkan Sabah mempercepat agenda peralihan tenaga, meningkatkan kebolehpercayaan untuk pengguna dan menyokong pembangunan ekonomi mampan di seluruh rantau.
Talian penghantaran berjaya diuji pada 10 Dis dan dijadualkan beroperasi secara komersial pada 13 Dis, membolehkan tambahan 30MW hingga 50MW kuasa disalurkan ke Grid Sabah, meningkatkan kestabilan grid, menyokong permintaan yang berkembang dan memperkukuh daya tahan operasi.
Projek ini juga meletakkan asas bagi pembentukan Masa Depan Grid Kuasa Asean.
Majlis perasmian dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity (SE), Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Sharbini Suhaili, serta wakil-wakil penting termasuk Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Ridwan Limus, Pengerusi SE, Saadiah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid.