Kota Kinabalu: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan “Final Award” bernilai AS$14.9 bilion kepada individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu sebagai satu penegasan penting terhadap kedudukan undang-undang yang menjadi asas tuntutan berkenaan.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata walaupun pertikaian itu diketengahkan sebagai isu timbang tara komersial, kesannya menyentuh terus perkara berkaitan dengan integriti wilayah Sabah.
“Status Sabah dalam Persekutuan berpaksi kepada Perlembagaan Persekutuan dan susunan perlembagaan yang lahir daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ia tidak boleh diubah, dicabar atau ditundukkan kepada proses timbang tara luar wilayah yang tidak mempunyai asas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
Beliau berkata penemuan Mahkamah Rayuan Paris bahawa penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa kerana ketiadaan perjanjian timbang tara yang sah mengukuhkan satu prinsip penting dalam tadbir urus berasaskan undang-undang — iaitu pertikaian yang membabitkan hak kedaulatan dan susunan perlembagaan tidak boleh diprivatisasikan, diserahkan kepada pihak ketiga atau diputuskan melalui mekanisme tidak sah.
SLS, katanya, turut mengambil maklum usaha pasukan perundangan Malaysia dalam prosiding di Perancis, yang menyentuh aspek kedudukan perlembagaan dan wilayah Sabah.
“Persoalan berkaitan hak perlembagaan Sabah mesti terus ditangani dengan kejelasan serta penghormatan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.
“Sebagai badan berkanun bebas, Persatuan Undang-Undang Sabah kekal komited mempertahankan kedaulatan undang-undang, melindungi perkara berkaitan kedudukan perundangan dan perlembagaan Sabah, serta memastikan isu melibatkan hak Sabah ditangani dengan disiplin, ketelusan dan berpaksikan undang-undang,” katanya.