Kota Kinabalu: Filipina seharusnya menubuhkan konsulat di Sabah dan menghentikan tuntutan wilayahnya terhadap negeri ini susulan kegagalan kes timbang tara Sulu, kata bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee, pada Khamis.
Yong berkata kekalahan tuntutan timbang tara Sulu berjumlah AS$14.9 bilion terhadap Malaysia di Paris dan mahkamah Eropah lain telah menghapuskan asas tuntutan Filipina ke atas Sabah, yang berpunca daripada perjanjian 1878 dengan Kesultanan Sulu.
“Tanpa tuntutan Sulu, tuntutan Filipina tidak dapat dipertahankan kerana ia langsung tidak mempunyai asas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menggesa kerajaan Filipina menubuhkan konsulat di Sabah bagi menyediakan perkhidmatan konsular kepada warganya di negeri ini, sambil menyifatkannya sebagai tindakan jelas dan muktamad bagi menutup isu tuntutan Filipina sepenuhnya.
Katanya, keputusan muktamad mahkamah-mahkamah Eropah seharusnya meyakinkan rakyat Filipina bahawa tuntutan kerajaan mereka terhadap Sabah adalah sia-sia.
“Rakyat Filipina perlu diyakinkan bahawa tuntutan kerajaan mereka ke atas Sabah adalah usaha yang sia-sia sepenuhnya,” katanya.
Yong turut menggesa kedua-dua negara memberi tumpuan kepada pembinaan hubungan kejiranan yang baik, khususnya antara Sabah dan wilayah selatan Filipina.
Beliau turut meminta kerajaan Malaysia mengambil perhatian bahawa dokumen sejarah relevan ialah geran bertarikh 29 Disember 1877, bukannya dokumen bertarikh 22 Januari 1878.
Katanya, dokumen 1877 serta rekod lain membuktikan bahawa Sabah tidak pernah menjadi sebahagian daripada Sulu.
“Kini tanggungjawab kerajaan Malaysia mengambil langkah menuntut penubuhan Konsulat Filipina di Sabah,” katanya.