Kota Kinabalu: Isu pelaksanaan penuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pemberian khas 40 peratus hasil bersih, tidak boleh lagi dilengahkan selepas hampir lima dekad tertangguh, kata Senator Datuk Bobbey Suan.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi pada Okt 2025 yang memihak kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) harus menjadi asas kepada penstrukturan semula hubungan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.
Katanya, Sabah menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan RM6.9 bilion kepada Sabah, jumlah tertinggi dalam sejarah negeri itu, serta kenaikan Geran Khas Interim kepada RM600 juta sebagai sebahagian daripada usaha penyelesaian MA63.
“MA63 bukan sekadar tuntutan politik negeri, tetapi asas kewujudan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
“Keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan kewajipan Persekutuan melaksanakan pemberian berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap hak mereka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan Madani) di Dewan Negara, Kuala Lumpur, Isnin.
Bobbey menegaskan usaha memuktamadkan pelaksanaan 40 peratus mesti digerakkan melalui formula pengiraan tetap dan berlandaskan perlembagaan, mekanisme telus dan teratur dan jadual pembayaran berkala yang tidak akan berubah mengikut pertukaran pentadbiran.
Beliau menambah, Sabah amat memerlukan keupayaan fiskal yang konsisten untuk menangani isu kritikal seperti krisis air, kelemahan rangkaian elektrik, pembangunan infrastruktur luar bandar, pendidikan dan modal insan.
Bobbey memberi peringatan kepada Dewan mengenai dua insiden besar pada 2025 yang menjejaskan keupayaan tenaga Sabah dan mengorbankan produktiviti negeri.
“Pertama, catuan elektrik seluruh Sabah pada Ogos 2025 disebabkan penyelenggaraan Terminal Gas Petronas Kimanis, yang mengakibatkan kehilangan kapasiti 195MW dan menjejaskan lebih 600,000 isi rumah, termasuk 200,000 pengguna domestik, selama tujuh hari. Kesan ekonomi dan sosial amat besar — perniagaan terhenti, hospital beroperasi dengan risiko tinggi, dan masyarakat menghadapi kesukaran seharian.
“Kejadian kedua melibatkan Pantai Timur Sabah apabila talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud runtuh, menyebabkan kawasan seperti Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Semporna, Kunak dan Beluran mengalami gangguan besar sehingga kerugian produktiviti mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Beliau mengalu-alukan kelulusan Projek Southern Link dalam Belanjawan 2026, melibatkan pembinaan talian penghantaran 275kV sepanjang 330 kilometer dari Sipitang–Tenom–Kalabakan hingga Tawau, dijangka meningkatkan kestabilan tenaga Pantai Timur sebanyak 200MW.
“Ramai pelabur sedang menunggu kepastian tenaga. Projek Southern Link mesti disegerakan,” tegasnya.
Bobbey juga menegur proses pelaksanaan projek pembangunan oleh jabatan Persekutuan yang disifatkannya tidak selari dengan keadaan geografi Sabah.
Menurutnya, walaupun Sabah menerima peruntukan besar setiap tahun, banyak projek gagal dimulakan kerana masa kelulusan teknikal yang panjang, birokrasi tender yang rigid dan kekangan struktur persekutuan dalam meluluskan projek secara tempatan.
“Realitinya, jika Sabah menerima RM5 bilion, hanya RM3 bilion dapat dibelanjakan. Tahun berikutnya kita terpaksa guna peruntukan baharu untuk tampung projek tertangguh,” katanya.
Bagi menyelesaikan masalah itu, beliau memuji langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Amanah Sabah, yang memastikan lebihan peruntukan tidak kembali ke perbendaharaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Bobbey mencadangkan supaya semua peruntukan Persekutuan ke Sabah dimasukkan terus ke dalam Tabung Amanah Sabah dan lebihan tahunan tidak lagi ‘hilang’ di samping memastikan projek dapat dilakukan secara berterusan tanpa melambatkan proses kelulusan.
Beliau turut membangkitkan isu tahap sara diri makanan (SSL) Sabah iaitu 22.8 peratus, bermaksud hampir tiga perempat makanan di negeri itu diimport.
Beliau menyeru agar peruntukan kepada petani Sabah ditingkatkan selaras fokus Perdana Menteri terhadap keselamatan makanan negara.
“Sabah merekodkan 3.14 juta pelancong pada 2024, hampir dua kali ganda daripada tahun sebelumnya. Sabah turut merekodkan 100 penerbangan antarabangsa seminggu dengan kapasiti 18,164 penumpang, sebanyak 366 penerbangan domestik seminggu dengan kapasiti 60,303 penumpang,” katanya.
Beliau menekankan peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelancongan berasaskan komuniti (CoBT), yang membantu menjana peluang kerja di kampung, selain menghidupkan ekonomi desa, melatih komuniti tempatan, serta memastikan limpahan ekonomi sampai terus ke akar umbi.
Bobbey menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas bagi mempercepat pembangunan CoBT di Sabah.
“Belanjawan Madani 2026 hanya akan mencapai matlamatnya jika birokrasi dikurangkan, hak Sabah di bawah MA63 dipenuhi sepenuhnya dan setiap peruntukan dilaksanakan dengan telus serta berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.