Kota Kinabalu: Gesaan rakyat supaya sebuah Kementerian Khas bagi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditubuhkan dilihat semakin lantang, dengan tuntutan agar pelaksanaan hak-hak Sabah dijadikan agenda institusi kekal dan tidak lagi terikat kepada perubahan politik atau kepentingan semasa.
Gerakan berasaskan petisyen rakyat itu berpaksikan keperluan mewujudkan satu mekanisme pentadbiran khusus yang bertanggungjawab sepenuhnya mengurus, merunding dan memantau semua perkara berkaitan MA63 secara berterusan, telus dan berkesan.
Pemerhati politik Sabah, Jesphin JMM Mojungkim berkata kegagalan melaksanakan MA63 secara menyeluruh sejak lebih enam dekad lalu berpunca daripada ketiadaan sebuah institusi khusus yang memiliki kuasa, mandat dan keutamaan terfokus terhadap perjanjian tersebut.
“Selama ini, MA63 sering tenggelam dalam perubahan kerajaan, keutamaan politik dan birokrasi. Pelaksanaannya tidak konsisten kerana ia tidak diinstitusikan secara kekal,” katanya.
Menurut beliau, MA63 seharusnya diuruskan secara berasingan dan tidak digabungkan dengan agenda lain kerana perjanjian itu melibatkan asas pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
Petisyen berkenaan mencadangkan penubuhan Kementerian Khas MA63 yang berfungsi sebagai pusat kuasa utama, bukan sahaja untuk memastikan pelaksanaan tuntutan sedia ada, tetapi juga menjaga kesinambungan perjuangan hak negeri merentasi perubahan politik di peringkat negeri dan persekutuan.
Antara tuntutan utama yang diketengahkan ialah pelaksanaan penuh hak hasil 40 peratus, yang disifatkan sebagai nadi kewangan negeri dan elemen penting bagi membolehkan Sabah merancang pembangunan secara lebih mampan tanpa kebergantungan berlebihan kepada peruntukan Persekutuan.
Penyokong petisyen berpandangan tanpa institusi khusus, tuntutan MA63 akan terus berdepan kelewatan, ketidakselarasan serta risiko diketepikan apabila berlaku perubahan kepimpinan atau dasar kerajaan.
Selain aspek fiskal, petisyen itu turut menekankan keperluan mengembalikan kedudukan Sabah seperti termaktub dalam perjanjian 1963, termasuk dari sudut autonomi pentadbiran dan pengiktirafan politik, sebagai sebahagian daripada pemerkasaan institusi negeri dalam Persekutuan.
Di peringkat akar umbi, sokongan terhadap penubuhan kementerian khas itu dilihat semakin meluas, dengan rakyat merentasi pelbagai latar belakang menyifatkan langkah berkenaan sebagai satu-satunya jalan untuk memastikan MA63 dilaksanakan secara konsisten dan tidak lagi bergantung kepada kehendak politik semasa.
Rakyat yang menyokong gerakan ini berpendapat pelaksanaan MA63 perlu menjadi institusi tetap negara, supaya hak Sabah bukan sekadar janji atau slogan, tetapi dilaksanakan secara berterusan demi masa depan negeri.