Kota Kinabalu: Terdapat keperluan untuk mewujudkan komuniti buku di Sabah bagi meningkatkan literasi, memperkukuh ikatan sosial dan mendorong budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Datuk Jasni Matlani berkata, komuniti buku itu nanti akan berperanan meningkatkan kesedaran membaca melalui acara membaca bersama, diskusi buku, bengkel penulisan serta aktiviti lain yang melibatkan masyarakat secara aktif.
“Dalam komuniti buku ini, anggota masyarakat boleh berkongsi pengalaman, pandangan dan cadangan mengenai buku yang dibaca. Hal ini mencipta peluang untuk masyarakat, khususnya pelajar, memperluaskan wawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Bhd (Kopeks) Bovell Angkui, di pejabatnya di Saadong Jaya, petang Isnin.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua tokoh penulis Sabah ini turut membincangkan pelancaran buku baharu masing-masing yang dijangka pada Januari 2026.
Bovell menghasilkan dua buku iaitu Competen CEO mengenai ilmu pengurusan dan antologi sajak Memerang Pulang dari Gunung. Manakala Jasni menghasilkan koleksi cerpen setebal 1,153 muka surat yang memuatkan 144 cerpen terbaik beliau dari 2010 hingga 2025.
Jasni, penerima Anugerah SEA Write Malaysia 2015, menegaskan komuniti buku yang aktif juga akan menjadi platform untuk penulis tempatan mempromosikan karya serta mendapatkan pulangan positif dalam industri perbukuan.
Beliau menambah, komuniti itu boleh menganjurkan acara sosial seperti diskusi, pelancaran buku, pembacaan puisi dan borak buku bagi menarik minat pembaca baharu serta memperkukuh hubungan antara penulis, pembaca dan masyarakat.
“Program di sekolah dan perpustakaan mesti mendorong pelajar lebih agresif ke arah menyerlahkan industri buku. Bantuan penerbit dan penulis tempatan yang kompeten amat penting untuk menyebarluaskan karya serta cerita-cerita berkaitan Sabah,” katanya.