PAPAR: Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah Ke-17, kerusi ‘panas’ Bongawan menjadi antara tumpuan apabila empat calon daripada parti utama dijangka bersaing sengit.
Antaranya, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tan Sri Anifah Aman, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis, penyandang kerusi itu dari Warisan, Dr Daud Yusuf, serta calon muka baharu dari Perikatan Nasional (PN).
Advertisement

Bagaimanapun, tinjauan mendapati tumpuan rakyat dilihat lebih terarah kepada Anifah susulan pengalaman dan kewibawaannya sebagai bekas Ahli Parlimen Kimanis selama tiga penggal dan mantan Menteri Luar selama sembilan tahun.
Timbalan Ketua Bahagian PGRS Bongawan, Datuk Mursidi Sapie (
gambar) berkata, Bongawan memerlukan sosok kepimpinan seperti Anifah untuk membawa perubahan serta pembangunan kepada kawasan itu.
Beliau percaya sekiranya Anifah diberi peluang, Bongawan bakal mengalami kemajuan lebih pesat kerana kelebihannya dari segi hubungan dengan pelabur luar dan pihak berkaitan hasil pengalamannya sebagai Menteri Luar sebelum ini.
Pada masa sama, katanya, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu juga merupakan seorang usahawan berjaya sebelum menyertai politik dan pengalaman itu boleh dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan di Bongawan.
“Tan Sri Anifah Aman telah membuktikan keupayaannya sebagai Ahli Parlimen Kimanis dan Menteri Luar, menjadikannya antara pemimpin Sabah paling berpengalaman di peringkat antarabangsa," katanya.
“Sudah tentu beliau mempunyai rangkaian pelabur, hubungan diplomatik dan pengalaman rundingan yang tidak dimiliki calon lain.
“Sekiranya Bongawan mahukan lonjakan besar, ia hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang tahu menarik pelaburan dan mengurus pembangunan. Itu kelebihan Tan Sri Anifah."
Menyentuh mengenai Mohamad yang kini hampir dua penggal sebagai Ahli Parlimen Kimanis, Mursidi menyifatkan calon BN itu masih gagal menonjolkan perubahan ketara di Bongawan.
Beliau menegaskan Mohamad masih baharu dalam kepimpinan peringkat tertinggi, terutamanya selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar, sekali gus menjejaskan fokus tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Kimanis.
“Kalau selepas hampir dua penggal sebagai Ahli Parlimen Kimanis pun Bongawan masih di takuk lama, apa jaminan pembangunan akan berlaku jika beliau memegang dua kerusi serentak (Kimanis dan Bongawan)?
“Tidak cukup masa untuk Parlimen Kimanis, tidak cukup masa untuk kementerian, bagaimana hendak tambah satu lagi kerusi? Ini bukan soal jawatan, ini soal kemampuan,” tegasnya.
Mursidi turut mengulas prestasi calon Warisan, Daud, yang menurutnya tidak berjaya membawa pembangunan bermakna di Bongawan walaupun telah menjadi wakil rakyat selama dua penggal.
Beliau berkata, Daud, sebagaimana Mohamad, juga tidak mempunyai pengalaman pentadbiran atau hubungan luar yang boleh membantu menarik pelaburan ke kawasan itu, sekali gus menjadikan kemajuan Bongawan terus hambar.
“Menjadi wakil rakyat pembangkang bukan alasan untuk Bongawan terus terpinggir. Daud perlu mencari inisiatif, rangkaian dan dana alternatif, bukan menyerah sebelum berjuang.
“Ramai juga wakil rakyat pembangkang lain mengambil inisiatif sendiri mencari peruntukan, seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, untuk membantu rakyat di kawasannya,” tegasnya.
Sementara itu, calon PN katanya merupakan muka baharu yang belum mempunyai rekod perkhidmatan, selain masih muda, justeru rakyat wajar berhati-hati memilih calon yang belum terbukti kemampuannya.
“Bongawan bukan tempat untuk eksperimen politik. Kita perlukan seseorang yang sudah teruji, bukan sekadar calon baharu tanpa rekod kerana sudah tiba masanya kawasan ini dibangunkan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pengundi Bongawan perlu menilai rekod setiap calon dan keupayaan sebenar mereka untuk membawa pembangunan, bukan sekadar bergantung pada janji atau kedudukan politik semasa.
Beliau berkata, Bongawan tidak boleh dipertaruhkan kepada mereka yang masih tercari-cari rentak, kurang pengalaman atau gagal menunjukkan hasil selepas diberi peluang.
“Kita perlukan pemimpin yang sudah terbukti, bukan yang masih belajar atau sekadar mencuba nasib. Justeru, Tan Sri Anifah memenuhi semua kriteria diperlukan sebagai wakil rakyat Bongawan.
“Kami yakin beliau kini mempunyai ruang dan masa lebih besar untuk memberi tumpuan kepada kawasan ini, sekali gus mempercepatkan pembangunan yang sekian lama tertangguh.
“Fakta yang jelas, Anifah mempunyai pengalaman mentadbir, kemampuan menarik pelaburan dan kesungguhan mendidik generasi muda. Ini masa untuk memilih pemimpin yang bukan sekadar bertanding, tetapi benar-benar mampu membina masa depan,” katanya.