SEMPORNA: Cubaan 23 pendatang tanpa izin (PTI) memasuki negeri ini melalui perairan Semporna digagalkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 pada Jumaat.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, berkata sepasukan anggota yang menjalankan rondaan di perairan Pantau-Pantau mengesan sebuah bot laju mencurigakan pada pukul 2 petang.
“Bot berkenaan dipintas dan hasil pemeriksaan menemukan 23 individu di atasnya, yang dipercayai berasal dari negara jiran,” katanya.
Menurut beliau, kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Nazri berkata, pihaknya akan terus mempergiat rondaan di perairan Sabah, khususnya di kawasan panas yang dikenal pasti sering digunakan bagi kegiatan penyeludupan manusia dan barangan haram.
Beliau turut menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan atau sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan tegas diambil.