RANAU: Tindakan dua lelaki yang cuba menyeberangi sungai menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), berakhir tragis apabila kedua-duanya ditemui lemas selepas kenderaan mereka dihanyutkan arus deras di Sungai Moroli, Kampung Narawang, di sini, Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi dan panggilan kecemasan diterima pada jam 10.22 pagi melalui talian balai.
“Seramai enam anggota termasuk saya selaku Komander Operasi bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Operasi turut dibantu dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Singaron Baru, 12 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 25 orang awam,” katanya.
Menurut Rantey, berdasarkan maklumat awal, kedua-dua mangsa menaiki kenderaan jenis Ford Ranger dan cuba menyeberangi Sungai Moroli sebelum dihanyutkan arus deras.
“Kenderaan itu ditemui orang awam kira-kira 200 meter dari lokasi ia dihanyutkan namun didapati kosong.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebelum dimaklumkan bahawa kedua-dua mangsa telah ditemui oleh orang awam,” katanya.
Beliau berkata, mangsa pertama ditemui pada jam 11.18 pagi di lokasi kira-kira 10 kilometer dari tempat kenderaan dijumpai, manakala mangsa kedua ditemui pada jam 11.48 pagi, satu kilometer dari lokasi mangsa pertama.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, menambah operasi tamat pada jam 1.23 tengah hari.
September lalu, seorang pekerja Sabah Electricity dalam sebuah kenderaan dihanyutkan arus semasa menjalankan tugas di Keningau.