RANAU: Anggota polis yang bertugas sepanjang tempoh pilihan raya perlu mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.
Beliau berkata setiap anggota perlu sentiasa berwaspada, berdisiplin serta bertanggungjawab sepenuhnya dalam melaksanakan tugasan masing-masing.
“Selain itu, polis perlu mengekalkan integriti dan imej pasukan supaya keyakinan masyarakat terhadap PDRM kekal kukuh serta sentiasa berpandukan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) semasa melaksanakan tanggungjawab.
“Tugas kita bukan sekadar menegakkan undang-undang, tetapi memastikan setiap rakyat dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam suasana aman dan selamat,” tegasnya.
Jauteh berkata demikian semasa sesi tinjauan persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 (PRN) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, pada Selasa.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Ranau di Bilik Mesyuarat IPD Ranau yang menumpukan kepada aspek keselamatan, logistik, pengurusan pusat mengundi serta tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota di lapangan.
Antara pengisian lain dalam lawatan itu ialah perasmian bilik mesyuarat baharu yang dinamakan Bilik Mesyuarat Liwagu di IPD Ranau serta demonstrasi “dry run drone” dari kawasan Kundasang.
Jauteh turut melawat Dewan Masyarakat Ranau bersama Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, yang akan digunakan sebagai salah satu pusat mengundi utama.