BAGI menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan, penyanyi Apiz Paschya tampil dengan lagu patriotik terbaharunya, Malaysia Hebat, yang membawa konsep unik berasaskan tema sukan sebagai simbol perpaduan rakyat.
Apiz berkata, tidak seperti lagu patriotik tipikal yang cenderung menekankan aspek kenegaraan semata-mata, Malaysia Hebat mengetengahkan elemen kesukanan sebagai teras utama penyatuan masyarakat majmuk di negara ini.
“Kami memilih sukan sebagai tema kerana sukan boleh menjadi medium yang menyatukan kita semua tanpa mengira kaum.
“Contohnya, apabila pasukan bola sepak atau badminton Malaysia beraksi, kita semua, tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun atau mana-mana etnik sekali pun, bersatu menyokong dan bersorak bersama-sama. Itulah kehebatan Malaysia yang ingin kami tonjolkan,” katanya kepada Hiburan Ekspres.






