Kota Kinabalu: Seorang penganggur lelaki berusia 49 tahun yang mengambil syabu buat kali ketiga dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan sekali sebatan rotan.
Maarof Garib mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Advertisement
.gif)
Dia didapati mengambil dadah itu pada jam 4 petang, 9 Mei lalu selepas ujian air kencing mengesahkan dia positif syabu di balai polis di sini.
Maarof mempunyai dua rekod sabitan terdahulu atas kesalahan mengambil syabu, masing-masing pada Oktober 2015 dan 2016.
Pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 39C(1) Akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Maarof menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap. Selepas tamat menjalani hukuman penjara, dia turut diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Semasa mitigasi, Maarof yang tidak diwakili memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga keluarganya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap Maarof kerana ia boleh menjadi pengajaran kepada orang lain selain tertuduh merupakan pesalah berulang.