BEAUFORT: Jabatan Alam Sekitar (Jas) Kota Kinabalu bersama Cawangan Sipitang/Beaufort melaksanakan operasi penguatkuasaan kawalan pelepasan kenderaan diesel secara bersepadu dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Ketua Polis Daerah Beaufort Supt Champin Piuh berkata operasi yang dijalankan pada Khamis itu memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan selain turut memeriksa kenderaan persendirian yang telah diubah suai.
“Ujian asap hitam dijalankan oleh Jas bagi memastikan pelepasan asap kenderaan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Kenderaan Diesel) 1996 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Operasi bersepadu ini akan sentiasa dilaksanakan secara berkala bersama agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan,” katanya.
Champin berkata operasi itu bertujuan memastikan syarikat pengangkutan, pemilik kenderaan perdagangan dan individu sentiasa melakukan penyelenggaraan berkala serta tidak melakukan pengubahsuaian yang boleh menyebabkan pelepasan asap ekzos menjejaskan alam sekitar.