BERMULA daripada langkah kecil di bangku sekolah rendah, minat mendalam terhadap seni tari tradisional telah membawa Sharifah Norhaliza Syed Amil terus kekal dalam dunia kebudayaan sehingga hari ini, sekali gus membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam mempersembahkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Sejak awal pendedahan kepada tarian Melayu serta tarian etnik Sabah, dia mula melihat seni gerak sebagai bahasa yang menyatukan cerita masyarakat berbilang kaum.
Advertisement
.gif)
“Daripada sekolah rendah saya belajar tarian Melayu, dan dari situ saya mula mengenali keindahan budaya lain di Sabah yang akhirnya membentuk karier saya hari ini,” katanya.
Pengalaman melihat penari daripada pelbagai etnik berkongsi pentas suatu ketika dahulu turut mencetuskan idea untuk menggabungkan elemen budaya berbeza dalam satu persembahan yang lebih tersusun dan bermakna.
Menurutnya, tarian campuran yang diperkenalkan bukan sekadar untuk keindahan pentas, tetapi sebagai usaha menterjemahkan kepelbagaian budaya dalam satu persembahan yang harmoni.
“Idea ini lahir apabila saya melihat setiap tarian mempunyai cerita tersendiri yang boleh saling melengkapi jika disusun dengan betul,” katanya.
Dibimbing oleh ibunya sejak kecil, Sharifah Norhaliza mengakui sokongan keluarga banyak membentuk pemahaman awalnya terhadap makna di sebalik setiap gerakan tarian.
Ibunya, katanya, bukan sahaja memberi galakan tetapi turut menerangkan makna budaya yang tersirat dalam setiap langkah tari.
Dalam membangunkan koreografi, dia menekankan kajian budaya sebagai asas utama sebelum sebarang gabungan dilakukan.
Setiap persembahan dimulakan dengan tema tertentu yang menjadi panduan dalam menyusun gerakan, kostum dan rentak agar mesej dapat disampaikan dengan jelas.
“Saya tidak menggabungkan tarian hanya kerana ia nampak menarik, tetapi kerana setiap satu ada nilai yang boleh disatukan tanpa menghilangkan identiti asal,” jelasnya.
Sharifah Norhaliza turut menegaskan bahawa keaslian setiap tarian perlu dipelihara, dengan gabungan hanya berlaku pada struktur persembahan tanpa mengubah intipati budaya asal.
Dalam aspek latihan, pelajar terlebih dahulu didedahkan kepada asas setiap tarian sebelum diperkenalkan kepada konsep gabungan, bagi memastikan mereka memahami jiwa seni tersebut.
Latihan biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu, bergantung kepada tahap kesukaran dan jumlah tarian yang digabungkan dalam satu persembahan.
Bagi menarik minat generasi muda, dia menggabungkan muzik moden dengan alat muzik tradisional tanpa mengabaikan identiti asal tarian.
Pendekatan itu, katanya, menjadikan seni tari lebih dekat dengan generasi muda tanpa menjejaskan nilai warisan.
Sebelum latihan bermula, pelajar akan diperkenalkan kepada latar belakang budaya setiap tarian, termasuk makna di sebalik gerakan yang dipelajari.
“Tarian Sumazau misalnya bukan sekadar gerakan, tetapi simbol kesyukuran yang perlu difahami sebelum dipersembahkan,” katanya.
Menurutnya, pemahaman terhadap konteks budaya menjadikan setiap persembahan lebih hidup dan berjiwa.
Tarian tradisional campuran juga membuka ruang kepada pelajar untuk memahami budaya lain sambil membina kreativiti dan disiplin diri.
Dalam masa sama, Sharifah Norhaliza menekankan kepentingan mendapatkan pandangan daripada pengamal budaya asal bagi memastikan sensitiviti sentiasa terpelihara.
Pemilihan kostum juga dibuat dengan teliti agar setiap persembahan kekal menghormati identiti etnik yang dipersembahkan.
“Tiga prinsip yang saya pegang ialah hormat, ketepatan dan konteks,” katanya.
Sambutan terhadap pendekatan ini, katanya, amat menggalakkan apabila ramai pelajar yang pada awalnya pasif mula menunjukkan minat terhadap sejarah tarian yang dipelajari.
Malah, dia melihat perubahan positif dalam kalangan pelajar dari segi keyakinan diri, disiplin serta semangat kerja berpasukan.
“Tarian mengajar mereka untuk bergerak dalam satu irama, dan itu membentuk kerjasama yang lebih kuat antara mereka,” katanya.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan cabaran utama adalah memastikan keseimbangan antara inovasi dan pemeliharaan identiti budaya asal.
Sokongan daripada sekolah, ibu bapa dan komuniti, katanya, memainkan peranan penting dalam memastikan usaha memartabatkan seni budaya terus berkembang.
Sharifah Norhaliza turut melihat media sosial sebagai platform penting untuk memperkenalkan seni tari tempatan kepada khalayak yang lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.
Dalam perancangan akan datang, dia sedang menyusun penyertaan dalam beberapa festival kebudayaan bagi memperluaskan pengenalan konsep tarian campuran ini.
Sharifah Norhaliza berharap lebih ramai tenaga pengajar dapat dilahirkan bagi memperkukuhkan lagi bidang seni tari merentas budaya.
Dia juga menyimpan harapan agar tarian campuran ini suatu hari nanti diiktiraf sebagai medium perpaduan yang lebih tersusun dan diterima secara meluas.
“Bagi saya, seni tari adalah bahasa tanpa kata yang menyatukan kita dalam satu irama sebagai rakyat Malaysia,” tambahnya.