PAIRIN berkata perjuangan Sabah untuk mendapatkan haknya, jika selesai, bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri itu, malah mampu memperkukuh patriotisme dan perpaduan negara.
Beliau menggesa semua pihak meneliti sejarah Sabah berdasarkan kebenaran, keikhlasan, logik, akal waras serta undang-undang antarabangsa, termasuk perjanjian dan traktat yang menjadi asas pembentukan Malaysia.
Advertisement
.gif)
Menurutnya, Britain memikul tanggungjawab utama terhadap keadaan tersebut dan perlu memastikan komitmen yang diselia negara itu dilaksanakan.
“Kerajaan British perlu memikul tanggungjawab besar untuk memperbaiki keadaan supaya semua perjanjian yang dipersetujui dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan.
“Kita memerlukan pelaksanaan khusus daripada Kerajaan British kerana mereka meninggalkan kita dalam keadaan tidak menentu. Mereka melepaskan kita sebagai tanah jajahan mereka tetapi menghantar kita ke Semenanjung untuk menjadi tanah jajahan di sana,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda serta semua pihak yang memahami keadaan Sabah agar meneruskan perjuangan yang dimulakan Tun Fuad.
“Marilah kita bersetuju dengan satu pendekatan, iaitu meneruskan perjuangan Allahyarham Tun Fuad untuk melindungi dan mempertahankan negeri Sabah,” katanya.