Kota Kinabalu: Seorang pengawal keselamatan sekolah yang melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu kepada Mohd Firdaus Basir, 34, yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Advertisement
.gif)
Mohd Firdaus dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan kerana mengganggu mangsa berusia 11 tahun sembilan bulan dengan memeluk dan mencium pipinya untuk tujuan seksual pada jam 5.50 pagi, 13 Januari tahun ini di sebuah sekolah di Tuaran.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOACA) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman tambahan penjara tiga tahun dan dua sebatan terhadap Mohd Firdaus mengikut Seksyen 16(1) SOACA yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan minimum dua sebatan.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalani secara berturutan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
Selain itu Mohd Firdaus turut diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mahkamah diberitahu kejadian berlaku ketika mangsa berada di kawasan menunggu di sekolah kira-kira jam 5.50 pagi pada hari kejadian apabila Mohd Firdaus mengajaknya makan di kantin sekolah.
Pada mulanya mangsa menolak pelawaan itu kerana sudah kenyang namun Mohd Firdaus terus memujuk dan memaksanya untuk mengikutinya.
Setibanya di kantin Mohd Firdaus memberitahu mangsa bahawa dia ingin mengambil sesuatu di dalam keretanya sebelum mangsa mengikutinya ke kawasan parkir.
Ketika berada berhampiran keretanya Mohd Firdaus secara tiba-tiba memeluk mangsa dari belakang. Mangsa kemudian menyiku tertuduh dan menegurnya kerana berkelakuan tidak sopan.
Mangsa cuba melarikan diri namun Mohd Firdaus memegang tangannya sebelum sekali lagi memeluknya dari belakang sambil meletakkan tangan pada bahagian perut mangsa.
Dia turut mencium pipi mangsa dan memberitahu bahawa dia mahu menyentuh bahagian sulit mangsa.
Mangsa sekali lagi menyiku tertuduh sebelum berjaya melarikan diri. Sejak kejadian itu mangsa berasa takut dan mengelak daripada bertemu dengannya.
Bagaimanapun pada 28 Januari tahun ini Mohd Firdaus menghampiri mangsa dan cuba memujuknya dengan memberikan sebuah beg plastik yang mengandungi sepucuk surat, sebotol minyak wangi dan beberapa keping biskut.
Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada seorang guru disiplin sebelum membuat laporan polis terhadap Mohd Firdaus.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim manakala Mohd Firdaus tidak diwakili peguam.