Mon, 15 Jun 2026
Headlines:
Lebih 96 peratus jawatan guru di Sabah diisi: Jabatan
Published on: Saturday, June 13, 2026
Published on: Sat, Jun 13, 2026
By: Larry Ralon, Ameerul Amde
Text Size:
Text:
Lebih 96 peratus jawatan guru di Sabah diisi: Jabatan
Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kadar pengisian guru yang memberangsangkan, dengan lebih 96 peratus daripada jawatan guru yang diluluskan di sekolah rendah dan menengah telah diisi setakat 30 April tahun ini.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin (gambar) berkata berdasarkan waran perjawatan yang diluluskan, seramai 26,468 guru ditempatkan di sekolah rendah, mewakili 96.9 peratus daripada 27,320 jawatan yang diluluskan.

Advertisement
Bagi sekolah menengah pula, kadar pengisian mencecah 99.2 peratus apabila 15,506 guru telah ditempatkan daripada 15,625 jawatan yang diluluskan.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah dalam memastikan keperluan pengajaran di setiap institusi pendidikan dipenuhi dengan sewajarnya,” katanya pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Negeri Sabah (MAPenS) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, baru-baru ini.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Raisin berkata walaupun pencapaian semasa amat memberangsangkan, usaha untuk mencapai pengisian guru 100 peratus akan terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif strategik.

Menurutnya, langkah itu termasuk penempatan guru baharu, penjajaran semula agihan sumber manusia serta pengurusan mobiliti guru yang lebih berkesan.

Advertisement
“Pada masa sama, perhatian khusus turut diberikan bagi memastikan keseimbangan opsyen dan pengkhususan guru supaya setiap mata pelajaran diajar oleh guru yang mempunyai kelayakan dan kepakaran yang sesuai.

“Ini penting bagi memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di samping menjamin setiap murid di Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, saksama dan inklusif,” katanya.

Advertisement
Sementara itu, Raisin turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik Sabah yang mengharumkan nama negeri menerusi pencapaian pada Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2026.

Beliau berkata kejayaan tersebut membuktikan warga pendidik Sabah terus berada di barisan hadapan dalam kecemerlangan pendidikan, inovasi, kepimpinan, kesukarelawanan dan dedikasi dalam memastikan hasil pembelajaran murid yang positif.

Antara penerima anugerah peringkat kebangsaan dari Sabah ialah Dr Velerie Wheelervon Primus dari SK Bingkor, Keningau yang menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan, manakala Siti Norfadthia Adila Jumaat dari SK Chinta Mata, Tenom menerima Anugerah Ikon Guru (Guru DELIMa).

Turut menerima pengiktirafan ialah Sabriah Japrin dari SMK Pekan Telipok yang menerima Anugerah Guru Inovatif Sekolah Menengah serta Roger Samin dari SK Pinggan-Pinggan, Pitas yang menerima Anugerah Pendidikan Khas bagi kategori Kesukarelawanan.

Mohd Sharif Taip dari SK Tiong Widu, Tambunan menerima Anugerah Pendidikan Khas bagi kategori Guru Pedalaman Berdedikasi, manakala Mohd Al Khalifa Mohd Affnan dari Kolej Vokasional Keningau menerima Anugerah Tokoh Pendidik bagi kategori Pensyarah.

Aaron Charles dari SK Palak, Pulau Banggi pula menerima Anugerah Tokoh Pendidik bagi kategori Guru Orang Asli/Pribumi, manakala Zaini Jainudin dari SK Pendidikan Khas Tuaran menerima Anugerah Tokoh Pendidik bagi kategori Guru Orang Kurang Upaya.

Dalam perkembangan lain, guru SK Bawang K9, Beluran, Lorenica Frenila Masundin, turut mengharumkan nama Sabah dan negara apabila memenangi dua Anugerah Emas menerusi inovasi pendidikan PAntas baCA Jawi (Pasca) pada pertandingan inovasi antarabangsa yang berlangsung di Universitas Negeri Jakarta, Indonesia dari 3 hingga 6 Jun lalu.

Raisin berkata pencapaian berkenaan bukan sahaja menjadi kebanggaan sekolah dan daerah yang terlibat, malah seluruh warga pendidikan Sabah, sekali gus membuktikan guru-guru di negeri ini mampu berdiri sebaris dengan pendidik terbaik negara.

“Anugerah yang diterima bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecemerlangan individu, tetapi simbol komitmen seluruh warga pendidik Sabah yang terus berusaha menyediakan pendidikan berkualiti, membangunkan potensi murid dan merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035,” katanya.

Beliau berharap pencapaian tersebut akan menjadi inspirasi kepada para pendidik di seluruh negeri untuk terus berinovasi, memperkukuh profesionalisme keguruan serta melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia dan berupaya menjadi pemimpin masa depan negara.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here