Mon, 15 Jun 2026
Headlines:
Keringat, pengorbanan wartawan bawakan kisah rakyat Sabah
Published on: Saturday, June 13, 2026
Published on: Sat, Jun 13, 2026
By: Bernama
Text Size:
Text:
Keringat, pengorbanan wartawan bawakan kisah rakyat Sabah
Kota Kinabalu: Kekangan bentuk muka bumi yang ekstrem dan jarak perjalanan beratus-ratus kilometer merentasi kawasan pedalaman tidak sesekali melunturkan kecekalan wartawan di Sabah dalam memikul amanah menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

Walaupun berdepan pelbagai kesukaran dan adakalanya terpaksa mempertaruhkan keselamatan diri, petugas media di Negeri Di Bawah Bayu terus komited untuk menjadi jambatan penghubung bagi membawa rintihan dan suara masyarakat terpencil kepada dunia luar.

Advertisement
Wartawan Portal Nabalu News, Fardy Bunga, 44, menyifatkan kerjaya kewartawanan di negeri ini bukan sekadar tugasan memburu berita pada meja pejabat, sebaliknya menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi serta keberanian luar biasa.

“Faktor geografi Sabah yang luas memaksa kami memulakan perjalanan seawal subuh bagi memastikan tiba di lokasi kejadian tepat pada waktunya, terutamanya apabila perlu menjejakkan kaki ke kawasan pedalaman yang amat sukar diakses,” katanya kepada Bernama bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2026, baru-baru ini.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Beliau berkata dalam situasi tertentu wartawan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan penduduk kampung serta meredah laluan air ke kawasan terpencil menggunakan bot dalam keadaan serba kekurangan.

Berkecimpung dalam dunia kewartawanan sejak 2009, Fardy turut berkongsi pengalaman mencemaskan apabila berdepan ancaman hidupan liar dan buaya ganas, di samping menempuh cuaca yang tidak menentu ketika membuat liputan bencana alam.

Advertisement
Namun, bekas wartawan Harian Metro itu berkata segala penat lelah yang ditempuh terasa amat berbaloi apabila isu dan rintihan komuniti luar bandar yang diketengahkan akhirnya mendapat perhatian dan tindakan pihak berwajib.

Berkongsi kecekalan sama, wartawan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Nirona Newmond, 32, mengakui liputan di kawasan pedalaman negeri ini sangat menuntut pengorbanan masa dan tenaga yang jauh lebih besar berbanding tugasan di bandar.

Advertisement
Beliau berkata wartawan sering kali perlu meredah kegelapan pagi menaiki bot atau memandu berjam-jam lamanya semata-mata untuk ke lokasi mangsa banjir atau tanah runtuh.

Selain itu, katanya, kos logistik yang tinggi bagi penyewaan kenderaan pacuan empat roda serta ketiadaan liputan komunikasi di sesetengah kawasan pedalaman turut menjadi antara cabaran utama di lapangan.

“Ada kawasan yang terputus terus daripada akses komunikasi, menyebabkan kami terpaksa berkejar keluar ke pekan terdekat semata-mata untuk mendapatkan isyarat Internet bagi menghantar visual dan laporan segera kepada stesen,” katanya yang sudah lapan tahun berkhidmat.

Sementara itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman, 38, yang ditugaskan ke Sabah sejak Okt 2025, berkata pengalaman bertugas di negeri ini memberikannya perspektif kemanusiaan yang lebih mendalam.

Beliau berkata perjalanan meredah laluan balak, jalan kampung yang berlecak serta menyeberangi laut bergelora sering kali memerah keringat sebelum petugas media tiba di lokasi sasaran.

“Kadang-kadang, sebelum berita ditulis, kita sudah menempuh hujan, berpanas di jeti dan diuji dengan kepenatan fizikal. Namun, kerja sebenar baharu bermula apabila kita tiba di lapangan bertemu masyarakat,” katanya yang menyertai agensi berita itu sejak 2012.

Beliau berkata antara cabaran paling besar ialah menyantuni mangsa bencana yang masih trauma dan bergelut dengan emosi akibat kehilangan tempat tinggal serta harta benda.

“Di sinilah letaknya nilai sebenar seorang wartawan. Kami bukan sahaja dipertanggungjawabkan melaporkan statistik mangsa, tetapi juga menyelami kisah dan harapan di sebalik sesuatu tragedi untuk diangkat menjadi agenda nasional,” katanya.

Bagi wartawan TV3 Safwan Sawi, 38, pula, tugas merentas pelosok pedalaman seperti Nabawan, Sapulut dan Pensiangan menuntut ketabahan yang tinggi kerana kru penyiaran ada kalanya terpaksa berjalan kaki selama berjam-jam sambil menggalas peralatan kamera yang berat melepasi kawasan berbukit.

Mengimbas antara liputan yang paling meninggalkan kesan, beliau merujuk kepada kisah pelajar Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin di pedalaman Pitas sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang sanggup tidur di atas pokok bagi mendapatkan capaian Internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian.

“Perjalanan mengambil masa hampir tujuh jam dari ibu negeri sebelum diteruskan dengan pendakian berjalan kaki. Kesusahan sebenar anak pedalaman inilah yang mahu kami sampaikan, dan visual berita hanya dapat dihantar selepas kami turun semula ke kawasan yang ada signal telefon,” jelasnya.

Safwan berkata beliau juga pernah memandu hampir lapan jam meredah laluan balak untuk membuat liputan di kawasan konservasi terpencil Imbak Canyon di Tongod.

Di sebalik cabaran jalan berselut, ketiadaan kemudahan asas dan kepenatan yang melampau, segala pengorbanan pengamal media ini terus menjadi nadi utama dalam memastikan nasib komuniti pedalaman di Sabah terbela dan tidak terus dilupakan.

Hawana 2026 yang mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” bertujuan memperkasakan peranan pengamal media dalam pembangunan negara.

Kemuncak sambutan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here