Kota Kinabalu: Sabah memperkenalkan satu set komprehensif bahan pendidikan alam sekitar bagi memperkukuh literasi alam sekitar serta memupuk budaya kelestarian dalam kalangan pelajar, pendidik dan komuniti di seluruh negeri.
Bahan yang dibangunkan itu merangkumi enam modul pendidikan alam sekitar yang meliputi aspek utama seperti air, guna tanah, pengurusan sisa, tenaga, perubahan iklim serta Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA).
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal yang mewakili Menteri Datuk Jafry Ariffin berkata inisiatif itu turut memperkenalkan dua permainan papan pendidikan, EcoExplorers dan Ecopolitan bagi menjadikan pembelajaran mengenai alam sekitar lebih menarik dan mudah diakses.
“Bahan-bahan ini dibangunkan menerusi kajian mengenai penyediaan sumber pendidikan dan amalan terbaik dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Alam Sekitar Sabah yang disiapkan pada April tahun lalu,” katanya pada majlis pelancaran Bahan Pendidikan Alam Sekitar dan Laporan Amalan Terbaik Pelaksanaan Dasar Pendidikan Alam Sekitar Sabah pada Khamis.
Beliau berkata bahan tersebut bertujuan menyediakan pendekatan pendidikan alam sekitar yang lebih tersusun, interaktif dan berimpak tinggi selain memastikan sumber pembelajaran dapat diakses dan dimanfaatkan dengan mudah oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Selain menjadi alat pengajaran dan pembelajaran, bahan ini dijangka menyokong program kesedaran alam sekitar, inisiatif penglibatan komuniti serta aktiviti penyelidikan di seluruh Sabah,” katanya.
Andi menyifatkan pelancaran itu sebagai satu lagi pencapaian penting dalam usaha Sabah memperkukuh pendidikan alam sekitar sejajar dengan komitmen berterusan negeri terhadap kelestarian alam.
“Kita kekal sebagai negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan Dasar Pendidikan Alam Sekitar khusus pada tahun 2009 bagi menyelaras usaha pendidikan alam sekitar melibatkan agensi kerajaan, sekolah, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan komuniti.
“Dalam menghadapi cabaran alam sekitar, pendidikan alam sekitar merupakan strategi penting untuk melahirkan rakyat yang berpengetahuan dan bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada usaha pemuliharaan dan pembangunan mampan,” katanya.
Menurut beliau selama ini Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS) telah menerajui pelbagai inisiatif pendidikan alam sekitar termasuk program Sekolah Rakan Alam Sekitar (Serasi), penubuhan Sabah Environmental Education Network (Seen) serta projek sains warga yang melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.
Katanya bahan pendidikan yang dilancarkan itu dijangka melengkapkan usaha sedia ada dengan menyediakan sumber pembelajaran dan aktiviti kesedaran alam sekitar yang praktikal, seragam serta relevan dengan konteks tempatan.
Majlis itu dihadiri pelajar dan guru daripada 16 sekolah yang mewakili beberapa daerah di Sabah.
Andi berharap bahan pendidikan tersebut dapat memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar sejak usia muda dan menggalakkan tindakan bersama dalam memelihara khazanah semula jadi Sabah demi generasi akan datang.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Josie Lai, Pemangku Pengarah JPAS Daisy Aloysius, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Robert Lipon serta Pengarah Jabatan Alam Sekitar Nor Rashidah Moh Ghazali.