KOTA KINABALU: Sektor pelancongan di Sabah dilihat mampu diperkemas dan memberi nilai tambah kepada kemasukan pelancong asing melalui usaha menjaga kebersihan kawasan bandar, khasnya kawasan tarikan pelancong seperti tapak pasar malam.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), peniaga pasar malam, komuniti setempat dan pengunjung.
Advertisement
.gif)
Beliau berkata peniaga memainkan peranan penting dalam memastikan tahap kebersihan kawasan pasar malam sentiasa terpelihara kerana mereka berada di barisan hadapan dan berinteraksi secara langsung dengan pelanggan.
“Peniaga mesti selalu fokus pada usaha menjaga kebersihan gerai, mengendalikan makanan secara selamat serta mengurus sisa dengan bertanggungjawab.
“Aspek kebersihan perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan sahaja melibatkan imej perniagaan, malah memberi kesan kepada kesihatan pengguna dan pelanggan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pasar Malam Bersih di sini, Jumaat malam.
Beliau turut menyeru semua peniaga pasar malam di bandar raya ini agar sentiasa mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih selamat, selesa dan diyakini pengunjung.
“Ini bukan hanya tanggungjawab peniaga semata-mata, tetapi turut melibatkan DBKK, komuniti dan semua pihak untuk bersama-sama memastikan kebersihan sentiasa terjaga,” katanya.
Dalam pada itu, Joniston berkata pemilihan Pasar Malam Api-Api Jalan Gaya untuk menyertai program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu membuktikan potensi besar yang dimiliki pasar malam berkenaan.
Menurutnya, lokasi strategik pasar malam itu menjadikannya tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong asing yang ingin menikmati pelbagai juadah tempatan, sekali gus menyumbang kepada kemeriahan bandar raya Kota Kinabalu.
“Pasar malam bukan sekadar hab ekonomi rakyat, tetapi juga ruang untuk menampilkan identiti tempatan, kepelbagaian budaya serta keunikan makanan Sabah yang menjadi kebanggaan negeri ini,” katanya.