Kota Kinabalu: Kebanyakan remaja seusianya menghabiskan masa lapang dengan bermain permainan video, bersiar-siar bersama rakan atau menikmati kehidupan tanpa memikirkan beban yang berat.
Namun berbeza bagi seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Inanam yang memilih untuk turun mencari rezeki menjual kerepek demi membantu menyara keluarga.
Kisah ketabahan Vanessa Eugene itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud yang berkongsi pengalaman bertemu dengannya menerusi satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
“Sedang saya menghirup secawan kopi, saya ternampak seorang adik yang gigih menjual kerepek.
“Saya tertanya-tanya mengapa pada usia yang begitu muda dia perlu bekerja sedangkan sepatutnya memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya.
Beliau berkata perbualan bersama remaja itu mendedahkan kisah hidup yang cukup menyentuh hati apabila bapanya meninggalkan mereka, manakala ibunya Jovina bergantung kepada kerusi roda akibat penyakit sendi kronik yang dihidapi sejak 20 tahun lalu.
Menurut Mustapha remaja berkenaan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini sanggup mengetepikan keseronokan zaman remajanya demi membantu keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.
Katanya keluarga itu menetap di sebuah rumah kayu yang sudah usang dan hanya bergantung kepada sumber pendapatan yang tidak menentu untuk meneruskan kehidupan seharian.
Lebih menyedihkan penyakit yang dihidapi Jovina bukan sahaja menyebabkan beliau kehilangan keupayaan untuk berjalan malah turut mengakibatkan keretakan rumah tangga apabila suaminya meninggalkan keluarga itu tanpa nafkah dan tanggungjawab.
“Ujian saya sangat berat tetapi saya reda. Setiap hari saya berdoa agar Tuhan membuka jalan untuk kami sekeluarga,” kata Jovina seperti dikongsikan oleh Mustapha.
Tersentuh dengan nasib keluarga berkenaan Mustapha berkata beliau segera mencari ikhtiar bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka.
Beliau kemudian menghubungi usahawan tempatan Jumadi yang sebelum ini pernah dibantunya memulakan perniagaan Nasi Kuning Tok Mus dan kini semakin berkembang.
Hasil perbincangan itu Jumadi bersetuju menawarkan peluang pekerjaan sambilan kepada remaja berkenaan sebagai pembantu jualan dengan elaun sekitar RM1,700 sebulan bergantung kepada hasil jualan.
Bagaimanapun Mustapha menegaskan bahawa pendidikan remaja itu perlu terus menjadi keutamaan dan pekerjaan tersebut hanya dilakukan pada waktu yang tidak mengganggu persekolahannya.
“Saya tetap mahu lihat adik ini pergi sekolah seperti biasa dan tamatkan persekolahan dengan cemerlang tahun ini. Sebab itu saya turut mendaftarkannya ke kelas tuisyen secara percuma supaya dia tidak ketinggalan terutama dalam subjek yang masih lemah,” katanya.
Menurut beliau bantuan yang diberikan bukan sekadar untuk membantu keluarga itu meneruskan kehidupan tetapi juga bagi memastikan remaja berkenaan terus berpeluang mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik.
Mustapha berkata semangat dan pengorbanan yang ditunjukkan remaja itu wajar dijadikan inspirasi kerana pada usia yang masih muda, dia sanggup meletakkan kepentingan keluarga mengatasi keselesaan dirinya sendiri.
“Kadang-kadang bantuan yang paling bermakna ialah bantuan yang hadir tepat pada waktunya. Saya berharap langkah kecil ini dapat menjadi titik permulaan untuk mereka bangkit semula dan menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.