KOTA KINABALU: Seorang penghantar barang warga Indonesia dan seorang pekerja restoran masing-masing dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana mengedar syabu seberat 69.14 kilogram dan 22.05 kilogram.
Warga Indonesia, Kahar Amir, 46, didapati bersalah oleh Hakim Celestina Stuel Galid atas pertuduhan mengedar 69,136.2 gram syabu pada 2.15 petang, 21 Feb 2019 di kaki lima hadapan Amber Freight Agencies (KK) Sdn Bhd, Lorong Cyber Square 2, Penampang.
Hakim Celestina ketika menjatuhkan hukuman pada Khamis turut memerintahkan Kahar dikenakan 12 sebatan.
Kahar juga diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman.
Seramai 19 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Sementara itu, Low Siew Yuen, 54, juga didapati bersalah oleh hakim sama pada Jumaat atas pertuduhan mengedar 22,053.8 gram syabu pada 4.15 petang, 4 Jan 2022 di Freight Mark Express, pekan Inanam, dekat sini.
Low dikecualikan daripada hukuman sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.
Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan dalam kes Low.
Kedua-dua tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan masing-masing.
Pendakwaan dalam kes Kahar dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kastam Nur Anida Nasri manakala tertuduh diwakili peguam Dominic Chew.
Bagi kes Low, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani manakala tertuduh diwakili Rupilin Alik.