IBU bayi kembar lelaki, Razma Ismail, 33, antara mangsa kebakaran Kampung Bahagia, merakam ucapan terima kasih atas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta yang lain, ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) PPR Taman Batu Sapi pada Rabu.
Ibu empat anak itu berkata bantuan yang disampaikan juga sedikit sebanyak membantu dia dan suami, yang hanya bekerja sendiri, serta tiga anak yang masih bersekolah masing-masing berusia 13, 10 dan seorang di Tadika Kemas Kampung Bahagia.
“Saya amat terharu kerana beliau (Perdana Menteri) datang sendiri melawat kami mangsa kebakaran yang sangat terkesan dengan kejadian itu,” jelasnya.
Dia juga berharap ada tempat berteduh selepas PPS itu ditutup kelak.
Menceritakan hari kejadian, dia berkata salah seorang bayi kembarnya menangis dan tidak dapat tidur lalu mengejutkan mereka semua, membolehkan mereka keluar menyelamatkan diri namun hanya tinggal sehelai sepinggang.
Bayi kembarnya baru berusia 22 hari pada Rabu.