KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) memperkukuh tindakan tegas bagi menangani isu kritikal melibatkan industri pelancongan di Semporna secara menyeluruh menerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas.
Menterinyat Datuk Jafry Ariffin berkata Semporna dijadikan model rujukan bagi penstrukturan semula industri pelancongan di Sabah membabitkan pematuhan perlesenan, keselamatan pelancong serta penambahbaikan infrastruktur.
“KePKAS tidak akan lagi berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi undang-undang. Ini berkaitan keselamatan, imej Sabah dan masa depan industri pelancongannya,” katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Pameran Matta Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu. Menurutnya, daripada 190 premis pelancongan yang dikenal pasti di Semporna, hanya 46 premis memiliki lesen sah.
“Kementerian memberi tiga bulan tempoh pematuhan dari Jan hingga Mac tahun ini sebelum Ops Bersepadu diadakan tanpa tolak ansur terhadap pengusaha ingkar.
“Sebagai langkah meningkatkan ketelusan dan keyakinan pelancong, KePKAS juga telah mengambil tindakan proaktif dengan memuat naik senarai 46 premis pelancongan yang berlesen di laman sesawang rasmi kementerian bagi rujukan umum,” katanya.
Jafry berkata bagi memastikan keselamatan pelancong di Semporna, hanya tiga jeti pelancongan rasmi dibenarkan beroperasi, iaitu Jeti Bangau-Bangau, Jeti Seafest dan Jeti Kapalai Resort.
“Pengoperasian jeti haram tanpa kawalan akan dikenakan tindakan, termasuk perobohan.
“Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan setiap pergerakan pelancong direkodkan dengan teratur serta memudahkan tindakan keselamatan dan operasi menyelamat sekiranya berlaku sebarang insiden,” katanya.
Jafry berkata pemain industri perlu memahami dan mematuhi sepenuhnya peraturan sedia ada yang menjadi syarat wajib bagi menjamin kualiti dan keselamatan industri pelancongan di daerah ini.
“Tiada syarat baharu dikenakan. Semua garis panduan sedia ada, dan ia tanggungjawab setiap pengusaha untuk mematuh sepenuhnya.
“Ini bukan pilihan, tetapi keperluan asas untuk memastikan industri pelancongan kita kekal berdaya saing dan selamat,” tambahnya.
Tambahnya, agensi teknikal termasuk Jabatan Tanah dan Ukur akan terus memudah cara dan menyelaras semua proses permohonan berkaitan bagi membantu pengusaha yang komited untuk mematuhi peraturan.
Beliau juga mengetengahkan soal keselamatan, mengatakan pihak berkuasa telah mendapati penggunaan kru bot tidak berdaftar oleh sesetengah pengusaha.
“Sehubungan itu, rondaan penguatkuasaan akan dipertingkat bagi memastikan semua pengendali bot mempunyai lesen sah. Selain itu, kawalan terhadap aktiviti pelancongan berisiko tinggi seperti selaman di Pulau Sipadan turut diperketat dengan syarat pengalaman minimum sebagai langkah keselamatan penyelam,” katanya.
Tentang isu sosial, beliau mengambil maklum cabaran di perkampungan air, yang dikenal pasti sebagai antara faktor yang menjejaskan imej pelancongan Semporna.
“KePKAS sedang mengkaji cadangan jangka panjang, termasuk perpindahan, bagi memastikan persekitaran pelancongan lebih bersih, selamat dan teratur,” katanya.
Jafry berkata kementeriannya akan turut mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penjualan hidupan liar dilindungi, termasuk makanan eksotik seperti penyu serta tenggiling kepada pelancong.
“Segala tindakan ini bukan sahaja bertujuan membersihkan industri, tetapi untuk menghantar mesej jelas bahawa Sabah serius dalam menjaga keselamatan pelancong dan kelestarian industri pelancongan kita,” katanya.
Beliau menggesa semua agensi dan pemain industri untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti bagi memastikan sektor pelancongan terus menjadi pemacu utama ekonomi Sabah.