Tuaran: Sekolah Menengah Advent Tamparuli (Smat) menjuarai dua kategori utama dalam Kejohanan Bola Keranjang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tuaran apabila dinobatkan johan bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 18 tahun, baru-baru ini.
Bagi kategori lelaki, Smat menewaskan Sekolah Menengah St. John Tuaran yang menduduki naib juara, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli menduduki tempat ketiga.
Advertisement
_E.jpg)
Kejayaan itu diteruskan dalam kategori perempuan apabila Smat sekali lagi mengatasi SM St. John Tuaran untuk merangkul kejuaraan, sementara SMK Tamparuli berada di kedudukan ketiga.
Kejohanan yang berlangsung di gelanggang bola keranjang Tuaran itu menyaksikan persaingan sengit serta semangat kesukanan tinggi dalam kalangan semua pasukan yang bertanding.
Susulan pencapaian tersebut, seramai 10 pemain lelaki dan lapan pemain perempuan dari Smat terpilih mewakili MSSD Tuaran ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sabah. Pengetua Smat, Err Khelex Mahani, merakamkan penghargaan kepada pemain dan jurulatih atas komitmen yang ditunjukkan.
“Kemenangan berganda berkenaan membuktikan keunggulan serta konsistensi Smat dalam pembangunan sukan bola keranjang di peringkat sekolah.
Advertisement

“Pihak sekolah berharap momentum kecemerlangan itu dapat diteruskan dengan para pemain terus berdisiplin dan fokus bagi mencapai kejayaan lebih gemilang di peringkat lebih tinggi,” ujarnya.