Kota Kinabalu: Kerajaan menetapkan satu kajian komprehensif selama sebulan bagi menangani kesesakan trafik yang semakin buruk di sekitar Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta menyelesaikan isu berpanjangan yang menjejaskan salah satu kemudahan perubatan paling sibuk di Sabah itu.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata cadangan untuk membina atau mereka bentuk semula jalan bagi melaksanakan sistem trafik sehala di seluruh kawasan hospital sudah pun dibincangkan.
Advertisement
_E.jpg)
“Kesibukan di sekitar hospital kini bukan sahaja menjejaskan keselesaan tetapi juga perkhidmatan penting khususnya kepada pesakit dan kakitangan hospital,” katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat ke hospital itu, Selasa.
Joachim, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri mengakui tiada penyelesaian mudah bagi isu kesesakan terbabit.
“Hospital ini dikelilingi pembangunan sedia ada yang menyukarkan sebarang usaha untuk mereka bentuk semula atau memperluaskan infrastruktur jalan raya.
“Selain itu sistem trafik semasa terikat kepada pelan induk lama yang mungkin tidak lagi mencerminkan jumlah atau corak trafik masa kini. Sebarang cadangan perubahan seperti memperkenalkan sistem sehala perlu dinilai dengan teliti bagi mengelakkan kesesakan baharu di lokasi lain,” jelasnya.
Advertisement

Beliau menambahpenyelesaian isu trafik itu sangat bergantung kepada penyelarasan rapat antara pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa negeri berkaitan.
“Selepas laporan siap, perancangan lanjut boleh diteruskan. Peruntukan bajet daripada KKM juga diperlukan untuk melaksanakan sebarang cadangan,” katanya.
Beliau menegaskan naik taraf itu penting kerana HQE merupakan hospital utama negeri serta pusat rujukan utama bagi semua hospital di Sabah termasuk Labuan dan sebahagian Sarawak seperti Lawas.
“Kerajaan negeri berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri di samping menggesa Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada pembinaan hospital baharu atau menaik taraf yang sedia ada,” katanya.
Joachim turut mengesahkan rancangan pembinaan bangunan tambahan dalam kawasan QEH.
“Kemudahan baharu ini dijangka mempunyai kapasiti sekitar 400 katil dan akan merangkumi perkhidmatan klinikal komprehensif seperti rawatan pesakit dalam dan luar, jabatan kecemasan baharu, klinik pakar serta perkhidmatan pembedahan,” katanya.
Beliau berkata projek itu disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan akan dibawa ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Kelulusan belanjawan sudah diperoleh dan walaupun pembiayaan dijangka tersedia, ia masih perlu melalui proses kelulusan rasmi.
Mengulas kebimbangan mengenai bekalan air susulan cuaca panas kebelakangan ini, Joachim berkata bekalan air masih mencukupi namun orang ramai dinasihatkan supaya berjimat.
“Orang ramai digalakkan menggunakan air secara berhemah kerana tidak pasti sama ada kemarau berpanjangan akan berlaku. Walaupun hujan sekali-sekala berlaku, ia tidak konsisten atau mencukupi,” katanya.
Mengenai Pulau Sebatik, beliau berkata situasinya berbeza kerana kawasan tadahan air yang terhad menyebabkan pulau itu terpaksa bergantung kepada telaga tiub.
Beliau menambah usaha sedang giat dijalankan untuk menangani cabaran bekalan air di sana.