Tuaran: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab menjalankan kajian semula persempadanan pilihan raya.
Menurutnya, perkara itu selaras dengan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan serta prinsip dan tatacara yang ditetapkan dalam Bahagian I dan II Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
Advertisement

Azalina berkata kajian semula hanya boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun tamat atau sekiranya terdapat pindaan undang-undang terhadap komposisi bilangan ahli dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (Dun).
Beliau berkata tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan di Sarawak berakhir pada 21 Ogos 2023 dan SPR kini berada pada peringkat akhir menyediakan syor sebelum meneruskan langkah seterusnya seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Kajian semula itu turut mengambil kira penambahan 17 kerusi Dun Sarawak yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 7 Julai dan berkuat kuasa pada 8 Ogos tahun lalu.
Bagi Sabah pula, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan berakhir pada 21 Februari tahun lalu. Namun, SPR masih belum memutuskan sama ada akan memulakan proses kajian semula kerana Pilihan Raya Negeri ke-17 baru sahaja selesai diadakan.
Bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, tempoh kajian semula persempadanan sebelum ini akan berakhir pada 9 Mac tahun ini dan sebarang keputusan untuk menjalankan kajian semula baharu akan ditentukan oleh SPR selepas tarikh itu.
Ahli Parlimen Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya tempoh lapan tahun bagi kajian semula sempadan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan dari segi perundangan.
“Perkara itu sepatutnya dimasukkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan pada masa hadapan mengenai tempoh masa yang diperlukan sebelum kajian semula persempadanan boleh dijalankan,” katanya.
Dalam soalan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Madius membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri dengan bertanya bilakah kerajaan akan melaksanakan penambahan kerusi Parlimen dan Dun di seluruh Malaysia serta sama ada Sabah dan Sarawak akan diberi keutamaan.