Kota Kinabalu: Seorang warga India yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negeri ini lebih tiga bulan serta memiliki pas kerja sementara palsu didenda keseluruhan RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Dhivin Kumar Sasikumar, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan ke atasnya.
Advertisement
_E.jpg)
Bagi pertuduhan pertama Dhivin didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar kerana tinggal di negeri ini selepas pas lawatan sosialnya tamat pada 27 November 2025 dan melebihi tempoh selama tiga bulan 24 hari.
Dia ditahan kira-kira jam 10.30 malam pada 23 Mac lalu di kaunter pemeriksaan imigresen Balai Ketibaan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua Dhivin didenda RM5,000 atau penjara empat bulan kerana memiliki pas lawatan kerja sementara (e-pass) palsu atas namanya di tempat dan masa yang sama.
Advertisement

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hanya dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen Mohd Hairul Bona yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
Dalam prosiding sama lima pendatang tanpa izin (PTI) turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini secara haram.
Kesemua warga asing terbabit terdiri daripada warga Indonesia dan Filipina yang ditahan dalam operasi di sekitar bandar selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada pihak Imigresen.
Selepas selesai menjalani hukuman mereka diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.