Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina tanpa dokumen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi pada Selasa atas pertuduhan mengedar 101.01 gram syabu.
Tertuduh Nabzal Antony, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal.
Advertisement
_E.jpg)
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 13 Januari lalu kira-kira jam 10.30 malam di hadapan tangga Star Souvenirs, bangunan Pusat Perniagaan Inanam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Jun untuk pengurusan kes pra-bicara dan memerintahkan tertuduh terus ditahan reman kerana kesalahan tersebut tidak membenarkan jaminan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sofia S Sawayan manakala tertuduh diwakili peguam lantikan Korventt Wheezar E Jomiji.
Advertisement

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret seramai 17 individu dikenakan hukuman atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
11 daripada mereka mengaku bersalah memiliki syabu seberat antara 2.34 gram hingga 0.03 gram di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Alex Eking dijatuhi hukuman penjara 15 bulan manakala Normaya Rupian, Roben Romeo dan Mujie Jimmy masing-masing dipenjara lapan bulan.
Shahrizan Hen pula didenda RM2,800 atau penjara sembilan bulan sementara yang lain dikenakan hukuman penjara sembilan bulan setiap seorang.
Bagi kesalahan mengambil dadah beberapa individu lain turut mengaku bersalah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Shahrizan didenda RM2,400 atau penjara lapan bulan, Ahmad Roslan didenda RM2,300 atau penjara lapan bulan, Ainus Sapin didenda RM2,500 atau penjara lapan bulan manakala Luu Kim Ngaim didenda RM2,400 atau penjara tujuh bulan.
Abdul Saad dipenjara tujuh bulan sementara yang lain dikenakan hukuman penjara lapan bulan setiap seorang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.