LAHAD DATU: Institusi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah perlu dipelihara sebagai tonggak penyatuan negeri dan tidak wajar dikaitkan dengan polemik politik kepartian.
Pemerhati politik M Ridzal berkata peranan TYT bukan sekadar bersifat istiadat tetapi merupakan elemen penting dalam memastikan kestabilan institusi dalam kerangka pentadbiran Sabah.
Menurut beliau sebagai ketua negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, TYT menjalankan tugas-tugas perlembagaan atas nasihat Ketua Menteri dan Kabinet di samping berperanan sebagai simbol penyatuan kepada semua kaum di negeri ini.
Katanya kedudukan tersebut menuntut tahap penghormatan yang tinggi serta perlu dijauhkan daripada pertikaian politik bagi memastikan integriti institusi terus terpelihara.
“Tanggungjawab menangani hal dasar dan pentadbiran terletak pada kerajaan semasa manakala TYT berada di atas pertimbangan tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan ulang tahun rasmi TYT, beliau berkata acara tahunan itu merupakan sebahagian daripada protokol negeri yang telah lama diamalkan dan mencerminkan penghargaan terhadap institusi berkenaan.
Menurutnya sambutan tersebut lazimnya melibatkan penganugerahan darjah kebesaran, program bersama rakyat serta inisiatif kebajikan selaras dengan peranannya dalam memupuk perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
Merujuk kepada Tun Musa Aman yang kini memegang jawatan tersebut beliau berkata bekas Ketua Menteri itu mempunyai rekod panjang dalam perkhidmatan awam.
Katanya tempoh 15 tahun Musa sebagai Ketua Menteri menyumbang kepada pembangunan Sabah dalam aspek ekonomi, infrastruktur dan tadbir urus.
“Tempoh itu dikaitkan dengan suasana politik yang stabil di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata pentadbiran ketika itu turut dikaitkan dengan kedudukan kewangan negeri yang lebih kukuh, peningkatan rizab serta perancangan infrastruktur yang lebih tersusun selain peningkatan profil Sabah sebagai destinasi pelaburan dan ekopelancongan.
Pembinaan Pusat Islam Sandakan pula dilihat sebagai kesinambungan sumbangan terhadap pembangunan negeri, khususnya dalam aspek keagamaan dan sosial.
“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan terhadap pembangunan institusi dan masyarakat dalam kapasiti yang berbeza,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh penglibatan Musa dalam usaha kebajikan termasuk bantuan kepada anak yatim, institusi agama dan golongan memerlukan, selaras dengan peranan lebih luas yang dikaitkan dengan institusi TYT.
M Ridzal berkata keseimbangan antara tugas rasmi dan penglibatan bersama masyarakat penting bagi memastikan institusi tersebut terus relevan dan dihormati rakyat.
Menurutnya institusi TYT perlu terus menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan negeri tanpa dipengaruhi kepentingan politik.